Terkini
Maahad Tahfiz Turath Pahang paling cemerlang SPM 2025, sambil dilatih hafal 30 juzuk al-Quran
- Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa, berkata seramai 25 daripada 48 calon berjaya memperoleh keputusan semua A, dengan keseluruhan calon turut mencapai 100 peratus kelayakan sijil.
- “Pada tahun 2025 Maahad Tahfiz Turath ini telah memperoleh GPS 0.60 mata. Maksudnya dia capai antara A dengan A plus. Jadi dah dibuktikan bahawa Maahad Tahfiz Turath ini satu pencapaian yang sangat besar kepada negeri Pahang,” katanya.
- “Selain menunjukkan prestasi yang cemerlang, mereka juga dilatih untuk menghafal 30 juzuk Al-Quran dan aktif dalam bidang kokurikulum seiring dengan modal insan seimbang duniawi dan ukhrawi,” katanya.
KUANTAN: Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang muncul sebagai antara sekolah paling cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 apabila merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa, seramai 25 daripada 48 calon berjaya memperoleh keputusan semua A, dengan keseluruhan calon turut mencapai 100 peratus kelayakan sijil.
“Pada tahun 2025 Maahad Tahfiz Turath ini telah memperoleh GPS 0.60 mata. Maksudnya dia capai antara A dengan A plus. Jadi dah dibuktikan bahawa Maahad Tahfiz Turath ini satu pencapaian yang sangat besar kepada negeri Pahang,” katanya yang dipetik Pahang Media.
Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan tersebut bukan sahaja dari segi akademik, malah merangkumi pembangunan sahsiah pelajar secara menyeluruh.
“Selain menunjukkan prestasi yang cemerlang, mereka juga dilatih untuk menghafal 30 juzuk Al-Quran dan aktif dalam bidang kokurikulum seiring dengan modal insan seimbang duniawi dan ukhrawi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) turut mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila 40 daripada 70 calon memperoleh keputusan semua A dalam SPM 2025.
“Maahad Tahfiz Negeri Pahang tajaan Yayasan Pahang telah meneruskan pencapaian cemerlang dalam SPM 2025. Seramai 70 calon telah menduduki peperiksaan dengan 100 peratus kehadiran.
“Seramai 40 calon memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran dan 100 peratus calon Layak Sijil. Pada tahun 2025 ini, Maahad Tahfiz Negeri Pahang memperoleh GPS 1.06 mata,” katanya.
Menurut beliau, bagi elektif Pengajian Islam, tujuh daripada sepuluh mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, dengan subjek Al-Adab Wa Al-Balaghah merekodkan peningkatan tertinggi iaitu Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 1.28.
Secara keseluruhan, Pahang mencatatkan seramai 671 calon memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran daripada 17,429 calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun lalu. – The Merdeka Times