Connect with us

Terkini

Isu kuil di UKM: ‘Selama ini tak nampak atau tak kisah. Kalau takde izin tunggu apa lagi?’ – Zainul Rijal

Published

on

Foto: Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
  • Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mempersoalkan tindakan pihak pengurusan UKM berhubung kewujudan sebuah kuil yang didakwa dibina secara tidak sah di dalam kawasan universiti itu, sambil menuntut penjelasan lanjut.
  • “Pihak pengurusan universiti baru sedar kewujudan kuil haram dalam kawasan mereka? Selama ini tak nampak atau tak kisah. Atau ada yang memberi izin? Universiti perlu menjelaskannya.
  • “Kalau tak ada izin tunggu apa lagi?” soalnya.

KUALA LUMPUR: Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mempersoalkan tindakan pihak pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung kewujudan sebuah kuil yang didakwa dibina secara tidak sah di dalam kawasan universiti itu, sambil menuntut penjelasan lanjut.

Beliau mempertikaikan bagaimana perkara tersebut hanya disedari pada peringkat sekarang, selain membangkitkan kemungkinan wujudnya kelulusan sebelum ini. 

“Pihak pengurusan universiti baru sedar kewujudan kuil haram dalam kawasan mereka? Selama ini tak nampak atau tak kisah. Atau ada yang memberi izin? Universiti perlu menjelaskannya,” tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Zainul Rijal turut menegaskan bahawa sekiranya tiada kebenaran diberikan, tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan tanpa berlengah. 

“Kalau tak ada izin tunggu apa lagi?” soalnya.

Beliau bagaimanapun menekankan bahawa sebarang tindakan perlu dilakukan secara berhemah dan mengikut prosedur, termasuk melibatkan pihak berkuasa tempatan dan polis. 

“Nak berhemah beri notis panggil PBT dan polis untuk laksanakan perobohan. Minta pihak kuil mengalihkan patung-patung dan simbol suci mereka mengikut ritual mereka terlebih dahulu agar sensitiviti dan penghormatan dijaga,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan isu pencerobohan tidak seharusnya melibatkan sebarang pampasan atau gantian. 

“Tiada ganti rugi atau gantian tempat untuk penceroboh,” katanya.

Terdahulu, UKM dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu penempatan kuil tersebut, yang disifatkan sebagai tidak sah di atas sebahagian tanah universiti.

Menurut kenyataan itu, perkara berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) Negeri Selangor.

UKM menjelaskan pihaknya sedang menunggu maklum balas serta tindakan lanjut daripada pihak kerajaan negeri sebelum mengambil langkah seterusnya.

UKM turut menegaskan sebarang tindakan perlu melalui prosedur ditetapkan serta mengambil kira sensitiviti semua pihak, selain menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mencetuskan ketegangan antara komuniti. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author