Connect with us

Terkini

SPM 2025: 80 pelajar MRSM raih semua A+, 19 MRSM catat GPM bawah 2.0

Published

on

Foto: Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
  • Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang pelajar MRSM dalam keputusan SPM 2025.
  • Beliau memaklumkan bahawa seramai 80 pelajar MRSM berjaya memperoleh keputusan semua A+ dalam semua subjek, meningkat berbanding 69 pelajar pada tahun sebelumnya.
  • “Alhamdulillah… 80 pelajar mendapat semua A+. Saya amat berbangga dengan anak-anak semua!” katanya.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Beliau memaklumkan bahawa seramai 80 pelajar MRSM berjaya memperoleh keputusan semua A+ dalam semua subjek, meningkat berbanding 69 pelajar pada tahun sebelumnya. 

“Alhamdulillah… 80 pelajar mendapat semua A+. Saya amat berbangga dengan anak-anak semua!” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, sebanyak 19 MRSM turut mencatatkan Gred Purata Maktab (GPM) di bawah 2.0, mencerminkan prestasi akademik keseluruhan yang memberangsangkan dalam kalangan institusi tersebut.

Dalam kenyataan MARA, lima MRSM mencatatkan pencapaian terbaik dengan GPM di bawah 1.500, iaitu MRSM Tun Ghafar Baba (1.139), MRSM Gemencheh (1.195), MRSM Taiping (1.224), MRSM Pengkalan Chepa (1.254) dan MRSM Kuala Kubu Bharu (1.284).

Selain itu, sebanyak 11 MRSM mencatatkan peningkatan prestasi keseluruhan, dengan MRSM ATM Bera merekodkan lonjakan Gred Purata tertinggi.

Pencapaian mengikut subjek turut menunjukkan keputusan yang cemerlang, khususnya dalam Matematik apabila 10 MRSM mencatatkan 100 peratus A, manakala 21 MRSM mencapai 100 peratus A bagi subjek Pendidikan Islam. Beberapa subjek lain seperti Pendidikan Moral, Pengajian Kejuruteraan, Bahasa Arab, Seni Visual dan Reka Cipta turut menunjukkan peningkatan.

Dalam bidang sains, keputusan juga memberangsangkan dengan 42.5 peratus pelajar memperoleh gred A dalam Fizik, diikuti Biologi (40.5 peratus) dan Kimia (37.7 peratus).

Secara keseluruhan, seramai 7,636 calon daripada 57 MRSM mencatatkan Gred Purata Keseluruhan sebanyak 2.067, termasuk pencapaian membanggakan daripada MRSM Ranau, Sabah dan MRSM Bintulu, Sarawak yang pertama kali menduduki peperiksaan SPM.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut merakamkan penghargaan kepada warga pendidik dan pengurusan MARA atas komitmen mereka. Beliau menyifatkan dedikasi serta semangat kerja berpasukan sebagai faktor utama kejayaan berterusan MRSM. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author