Terkini
Hindutva serang Muslim di Bengal Barat, kedai dibakar, penduduk dipukul
- Menurut laporanKashmir Media Service, Ketegangan dilaporkan bermula apabila perarakan Ram Navami yang disertai peserta berpakaian warna saffron, muzik kuat dan tarian, melalui kawasan berhampiran sebuah masjid ketika solat Jumaat sedang berlangsung.
- Penduduk setempat dikatakan membantah dan meminta perarakan ditangguhkan sehingga selesai solat, namun permintaan itu mencetuskan pertengkaran yang kemudian bertukar menjadi keganasan.
- Situasi semakin tegang apabila kumpulan tersebut dilaporkan memanjat bumbung rumah penduduk, mengibarkan bendera saffron, merosakkan harta benda, membakar kedai serta menyerang orang awam.
KOLKATA – Keganasan tercetus semasa perarakan Ram Navami di daerah Murshidabad, Bengal Barat, India apabila sekumpulan individu dikaitkan dengan kumpulan Hindutva menyerang penduduk Muslim serta membakar premis perniagaan milik mereka.
Menurut laporan Kashmir Media Service, insiden berlaku di kawasan Fultala dalam subdivisi Jangipur, yang majoriti penduduknya terdiri daripada komuniti Muslim termasuk peniaga kecil, gerai buah-buahan dan kedai makan.
Ketegangan dilaporkan bermula apabila perarakan Ram Navami yang disertai peserta berpakaian warna saffron, muzik kuat dan tarian, melalui kawasan berhampiran sebuah masjid ketika solat Jumaat sedang berlangsung.
Penduduk setempat dikatakan membantah dan meminta perarakan ditangguhkan sehingga selesai solat, namun permintaan itu mencetuskan pertengkaran yang kemudian bertukar menjadi keganasan.
Situasi semakin tegang apabila kumpulan tersebut dilaporkan memanjat bumbung rumah penduduk, mengibarkan bendera saffron, merosakkan harta benda, membakar kedai serta menyerang orang awam.
Penduduk tempatan mendakwa serangan berlarutan dalam tempoh agak lama meskipun kehadiran polis dan pasukan separa tentera India, yang didakwa tidak mengambil tindakan mencukupi untuk mengawal keadaan.
Insiden itu berlaku kira-kira 500 meter dari Balai Polis Raghunathganj.
Antara mangsa yang cedera ialah Abdul Sheikh, 30, seorang kakitangan perbandaran Jangipur yang mengalami kecederaan serius di kepala selepas dipukul menggunakan batang besi.
Menceritakan kejadian, beliau berkata sedang dalam perjalanan pulang menaiki motosikal sebelum ditahan dan diserang.
“Mereka pukul saya dengan teruk, rosakkan motosikal saya dan membakarnya. Kini saya menerima rawatan di Hospital Jangipur,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (MLA) Jangipur daripada parti Trinamool Congress, Zakir Hussain mendakwa keganasan tersebut sengaja dicetuskan menjelang pilihan raya.
Beliau mendakwa Parti Bharatiya Janata (BJP) cuba meraih sokongan pengundi Hindu dengan mencetuskan ketegangan antara agama di kawasan tersebut.
Insiden ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan serangan terhadap komuniti Muslim di India, khususnya menjelang pilihan raya negeri yang dijadualkan berlangsung pada akhir April.-The Merdeka Times