Terkini
Kes bunuh seisi keluarga: Kesihatan mental bukan faktor tunggal
- Penceramah kesihatan mental dan pengasas Mental Kuat Centre, Amirul Ramli mengingatkan orang ramai agar tidak terus mengaitkan setiap kes pembunuhan seisi keluarga (familicide) dengan penyakit mental semata-mata.
- “Tapi kita kena faham satu perkara penting jangan terus kaitkan semua kes sebegini dengan penyakit mental. Sebab tidak semua kes familicide ada sejarah gangguan mental. Penyakit mental bukan punca tunggal. Ia lebih kepada amplifier saja menguatkan emosi, tekanan, dan corak pemikiran yang sudah sedia ada dalam diri seseorang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar tidak terus mengaitkan setiap kes pembunuhan seisi keluarga (familicide) dengan penyakit mental semata-mata, kerana tidak semua kes mempunyai sejarah gangguan tersebut.
Penegasan itu disuarakan oleh penceramah kesihatan mental dan pengasas Mental Kuat Centre, Amirul Ramli susulan satu lagi kes tragis melibatkan kematian sekeluarga yang dilaporkan baru-baru ini.
Menurut beliau, terdapat kecenderungan dalam masyarakat untuk mengaitkan punca tragedi sedemikian dengan terus menyalahkan masalah kesihatan mental, sedangkan realitinya lebih kompleks.
“Tapi kita kena faham satu perkara penting jangan terus kaitkan semua kes sebegini dengan penyakit mental. Sebab tidak semua kes familicide ada sejarah gangguan mental.
“Penyakit mental bukan punca tunggal. Ia lebih kepada amplifier saja menguatkan emosi, tekanan, dan corak pemikiran yang sudah sedia ada dalam diri seseorang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam kes terbaharu itu, mayat ibu bapa dilaporkan telah meninggal dunia beberapa hari sebelum mayat pelaku ditemui, dengan senjata turut dijumpai berhampiran lokasi kejadian.
Laporan awal turut menyebut bahawa pelaku dipercayai mempunyai sejarah gangguan mental selama lapan tahun, namun Amirul menegaskan faktor tersebut tidak boleh dilihat sebagai punca tunggal kejadian.
Beliau menjelaskan bahawa dalam keadaan tekanan melampau, seseorang boleh mengalami pemikiran yang terpesong sehingga logik dan pertimbangan rasional menjadi kabur.
Namun, penyakit mental menurutnya lebih berfungsi sebagai ‘amplifier’ yang menguatkan emosi, tekanan dan corak pemikiran sedia ada, bukannya penyebab mutlak kepada tindakan ekstrem.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap perubahan emosi dan tingkah laku dalam kalangan ahli keluarga serta tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kritikal sebelum mendapatkan bantuan.
“Jika rasa ada yang tidak kena, dapatkan bantuan seawal mungkin. Lagi awal rawatan, lagi tinggi peluang untuk pulih sepenuhnya,” katanya.
Tragedi ini sekali lagi menuntut pendekatan lebih seimbang dalam memahami isu kesihatan mental, tanpa membuat kesimpulan mudah yang boleh menimbulkan stigma terhadap pesakit.-The Merdeka Times