Connect with us

Terkini

Elak aktiviti pembakaran semasa musim panas – JAS

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan tersebut boleh meningkatkan risiko berlakunya jerebu serta kebakaran yang tidak terkawal.
  • JAS negeri itu memaklumkan pencemaran daripada pembakaran terbuka akan memberi kesan kepada kesihatan awam iaitu menyebabkan asma, batuk dan bronkitis akibat zarah halus (PM2.5) dalam asap.
  • Selain itu, ia juga akan memberi kesan kepada masalah pernafasan dan jantung terutama bagi bayi, warga emas dan penghidap penyakit kronik, mengakibatkan iritasi mata, tekak dan hidung serta mengurangkan kualiti hidup penduduk.

KUCHING — Orang awam dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kebenaran pihak berkuasa, terutamanya ketika musim panas dan cuaca kering yang sedang melanda negara.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan tersebut boleh meningkatkan risiko berlakunya jerebu serta kebakaran yang tidak terkawal.

“Larangan pembakaran terbuka ini juga dapat mencegah kemerosotan kualiti udara akibat daripada berlakunya pencemaran udara yang teruk khususnya pada musim kering ini.

“Pembakaran terbuka tersebut termasuk pembakaran sisa pertanian, semak samun atau belukar, apa-apa jenis buangan seperti sampah domestik atau buangan binaan, pembakaran di tapak pelupusan atau kawasan tanah gambut, dan pembakaran secara terkawal tanpa kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

JAS negeri itu memaklumkan pencemaran daripada pembakaran terbuka akan memberi kesan kepada kesihatan awam iaitu menyebabkan asma, batuk dan bronkitis akibat zarah halus (PM2.5) dalam asap.

Selain itu, ia juga akan memberi kesan kepada masalah pernafasan dan jantung terutama bagi bayi, warga emas dan penghidap penyakit kronik, mengakibatkan iritasi mata, tekak dan hidung serta mengurangkan kualiti hidup penduduk.

Kesan kepada alam sekitar pula adalah pencemaran udara dan jerebu dengan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU), kemerosotan kualiti tanah dan air akibat sisa pembakaran, kemusnahan flora dan fauna serta ekosistem hutan dan tanah gambut dan peningkatan pelepasan gas rumah hijau yang akan menyumbang kepada pemanasan global.

Menurut kenyataan itu, melakukan pembakaran terbuka juga satu kesalahan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pindaan 2024, yang memperuntukkan denda antara RM25,000 dan RMI juta, atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, JAS memaklumkan denda tambahan tidak melebihi RM 5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas diberikan notis untuk menghentikan aktiviti tersebut, serta kompaun maksimum tidak lebih 50 peratus daripada kadar denda maksimum boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

JAS turut meminta orang ramai diminta bersama-sama dalam menangani isu pencemaran dan melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam atau e-mel ke [email protected] melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.– BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author