Connect with us

Terkini

Kerajaan negeri arah siasat tular promosi LGBT sempena Aidilfitri di Merlimau

Published

on

Foto: Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman.
  • Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata hantaran yang dimuat naik melalui platform Threads itu didakwa berlaku di Kampung Batu Gajah, Merlimau, namun kesahihan maklumat berkenaan masih dalam penelitian.
  • “Apa juga tindakan akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
  • Terdahulu, tular di media sosial sekeping gambar memaparkan seorang individu dipercayai lelaki berperwatakan wanita bergambar bersama seorang lelaki lain, dengan kedua-duanya mengenakan pakaian sedondon berwarna merah jambu.

MELAKA – Kerajaan negeri akan menjalankan siasatan segera berhubung satu hantaran tular di media sosial yang didakwa mempromosikan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri di Merlimau, Jasin.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata pihaknya telah menerima maklumat berhubung perkara itu dan semakan lanjut sedang giat dilaksanakan, termasuk mengesahkan lokasi sebenar kejadian.

Beliau berkata hantaran yang dimuat naik melalui platform Threads itu didakwa berlaku di Kampung Batu Gajah, Merlimau, namun kesahihan maklumat berkenaan masih dalam penelitian.

“Siasatan akan dilakukan segera bagi memastikan kesahihan perkara itu termasuk lokasi kejadian sekiranya benar berlaku.

“Kita tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal, sebaliknya memberikan ruang kepada proses siasatan yang teliti dan menyeluruh,” katanya ketika dihubungi media, di sini semalam.

Siasatan turut melibatkan penelitian dari sudut perundangan bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang serta tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak terlibat.

“Apa juga tindakan akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sekeping gambar memaparkan seorang individu dipercayai lelaki berperwatakan wanita bergambar bersama seorang lelaki lain, dengan kedua-duanya mengenakan pakaian sedondon berwarna merah jambu.

Hantaran itu disertakan kapsyen “Jodoh Lebaran Dah Tiba. Alhamdulillah” serta meletakkan lokasi di Kampung Batu Gajah, Merlimau.

Perkongsian berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, dengan sebahagian daripadanya mengecam tindakan itu, yang didakwa mempromosikan LGBT serta dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri. – BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author