Connect with us

Terkini

MUDA desak tubuh RCI segera, dakwa SPRM tidak wajar siasat diri sendiri

Published

on

Foto: Ahli perniagaan, Victor Chin (kiri) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki (kanan).
  • Parti MUDA hari ini menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan segera susulan pendedahan terbaru seorang ahli perniagaan, Victor Chin yang melibatkan dakwaan pembayaran hampir RM10 juta kepada seorang ahli Parlimen PKR bagi “membersihkan” isu berkaitan skandal yang digelar sebagai “corporate mafia”.
  • MUDA turut menegaskan bahawa isu berkenaan menjadi lebih rumit apabila pendedahan itu turut dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
  • “Bagaimana siasatan yang adil dan telus boleh dijalankan oleh SPRM apabila tuduhan asal turut mengaitkan Pesuruhjaya SPRM sendiri?” soal MUDA.

KUALA LUMPUR – Parti MUDA hari ini menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan segera susulan pendedahan terbaru melibatkan dakwaan pembayaran hampir RM10 juta kepada seorang ahli Parlimen PKR.

Dalam satu kenyataan media, MUDA berkata negara sekali lagi dikejutkan dengan pengakuan seorang ahli perniagaan, Victor Chin, yang mendakwa sejumlah wang besar telah disalurkan sebagai imbuhan kepada orang tengah bagi “membersihkan” isu berkaitan skandal yang digelar sebagai “corporate mafia”.

Jelas kenyataan itu, lebih membimbangkan, Victor Chin dilaporkan memberikan kata dua agar wang tersebut dipulangkan sebelum 30 Mac, jika tidak beliau akan mendedahkan identiti individu yang terlibat.

Menurut MUDA, pengakuan terbabit menimbulkan persoalan serius dari sudut undang-undang, khususnya sama ada pembayaran tersebut boleh dianggap sebagai satu bentuk rasuah kepada individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan bagi menyelesaikan isu yang mungkin melibatkan siasatan atau tindakan undang-undang.

“Perkara ini menunjukkan satu pengakuan bahawa sejumlah wang telah bertukar tangan sebagai satu bentuk imbuhan kepada orang tengah bagi menyelesaikan isu beliau dengan pihak yang dikaitkan sebagai ‘corporate mafia’,” jelas kenyataan itu.

MUDA turut menegaskan bahawa isu berkenaan menjadi lebih rumit apabila pendedahan mengenai “corporate mafia” yang dilaporkan sebelum ini turut dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Sehubungan itu, parti berkenaan mempersoalkan keupayaan SPRM untuk menjalankan siasatan yang bebas dan telus sekiranya agensi tersebut sendiri turut dikaitkan dalam dakwaan berkenaan.

“Bagaimana siasatan yang adil dan telus boleh dijalankan oleh SPRM apabila tuduhan asal turut mengaitkan Pesuruhjaya SPRM sendiri?” soal MUDA.

Antara persoalan utama yang dibangkitkan termasuk identiti ahli Parlimen PKR yang dimaksudkan, kesahihan transaksi wang tersebut, kewujudan sebenar ‘corporate mafia’, serta sama ada terdapat penglibatan mana-mana pihak dalam SPRM.

MUDA turut menolak alasan bahawa kerajaan masih menunggu hasil siasatan panel khas berkaitan pegangan saham Azam Baki, dengan menyifatkan kedua-dua isu itu berbeza dan memerlukan penelitian berasingan.

Sehubungan itu, MUDA menegaskan bahawa penubuhan RCI adalah langkah paling wajar bagi memastikan semua pihak yang terlibat disiasat secara menyeluruh tanpa sebarang konflik kepentingan. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author