Connect with us

Terkini

Iran sahkan Ketua Majlis Keselamatan Negara, Ali Larijani terkorban dalam serangan Israel

Published

on

Foto: Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, Ali Larijani
  • Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran berkata Larijani terbunuh dalam serangan itu bersama anak lelakinya, pembantunya Reza Bayat dan beberapa rakan sekerjanya.
  • Tentera Israel berkata ia telah membunuh Larijani dalam satu serangan udara berhampiran Tehran, dengan mendakwa beliau telah terkorban dalam apa yang disifatkannya sebagai “serangan tepat” pada malam Isnin.
  • Tentera Israel menyifatkan Larijani sebagai “pemimpin de facto” rejim Iran.

ISTANBUL – Iran pada Selasa mengesahkan bahawa Ali Larijani, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, terkorban dalam serangan Israel, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran berkata Larijani terbunuh dalam serangan itu bersama anak lelakinya, pembantunya Reza Bayat dan beberapa rakan sekerjanya.

Tentera Israel berkata ia telah membunuh Larijani dalam satu serangan udara berhampiran Tehran, dengan mendakwa beliau telah terkorban dalam apa yang disifatkannya sebagai “serangan tepat” pada malam Isnin.

Tentera Israel menyifatkan Larijani sebagai “pemimpin de facto” rejim Iran, menurut kenyataan itu.

Ia juga mendakwa bahawa Gholamreza Soleimani, komander pasukan Basij Iran, telah terbunuh dalam serangan udara berasingan di negara berkenaan.

Larijani muncul di khalayak ramai pada Jumaat lepas semasa perhimpunan Hari Quds di Tehran, beberapa jam sebelum namanya dilaporkan termasuk dalam senarai Amerika Syarikat (AS) yang menawarkan ganjaran sehingga AS$10 juta untuk maklumat mengenai 10 pegawai kanan Iran.

Israel dan AS telah meneruskan serangan bersama ke atas Iran sejak 28 Feb, yang mengorbankan kira-kira 1,300 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.

Iran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan pada infrastruktur selain mengganggu pasaran global serta penerbangan. – BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author