Connect with us

Terkini

Pasukan Trump ‘menyesal’ lancar perang, dakwa ‘Trump tak dengar cakap, terlalu yakin’ – Laporan

Published

on

Foto: Presiden AS, Donald Trump.
  • Kebimbangan semakin meningkat bahawa pentadbiran Presiden AS, Donald Trump mungkin tersilap menilai kemampuan negara Iran untuk menahan serangan, menurut laporan oleh Axios.
  • Laporan pada hari Isnin menyatakan beberapa pegawai kanan pada awalnya menggesa supaya lebih berhati-hati atau meminta lebih masa sebelum melancarkan kempen ketenteraan bersama Israel, namun Trump menolak kebimbangan mereka.
  • Seorang sumber menggambarkan presiden itu sebagai “terlalu yakin dengan kejayaannya sendiri”, menunjukkan keyakinan terhadap operasi terdahulu di Venezuela telah mempengaruhi keputusan untuk meningkatkan konflik.

WASHINGTON – Sebahagian pasukan dalaman Presiden AS, Donald Trump, secara peribadi dilaporkan menyatakan penyesalan mereka berhubung keputusan untuk berperang dengan Iran.

Kebimbangan semakin meningkat bahawa pentadbiran Trump mungkin tersilap menilai kemampuan Iran untuk menahan serangan, menurut laporan oleh Axios yang dipetik TRT.

Laporan pada hari Isnin menyatakan beberapa pegawai kanan pada awalnya menggesa supaya lebih berhati-hati atau meminta lebih masa sebelum melancarkan kempen ketenteraan bersama Israel, namun Trump akhirnya menolak kebimbangan mereka. 

Seorang sumber berkata presiden tetap meneruskan operasi itu sambil memberitahu para penasihatnya: “Saya hanya mahu melakukannya.”

Menurut laporan itu, Trump terdorong oleh kejayaan ketenteraan sebelum ini, termasuk serangan awal terhadap Iran serta penculikan Nicolás Maduro di Venezuela, yang mungkin menyebabkan beliau terlebih menilai betapa mudahnya kerajaan Iran boleh digugat tanpa menghantar tentera darat.

Seorang sumber menggambarkan presiden itu sebagai “terlalu yakin dengan kejayaannya sendiri”, menunjukkan keyakinan terhadap operasi terdahulu telah mempengaruhi keputusan untuk meningkatkan konflik.

Laporan tersebut juga memberi amaran bahawa pentadbiran kini mungkin terperangkap dalam apa yang digelar penganalisis sebagai “perangkap eskalasi”, iaitu keadaan di mana pihak yang lebih kuat dari segi ketenteraan berasa perlu terus menyerang untuk mengekalkan dominasi walaupun keuntungan strategik semakin berkurang.

Ketegangan kini semakin tertumpu kepada Selat Hormuz, laluan tenaga global yang sangat penting di mana kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia biasanya melalui kawasan tersebut.

Ancaman dan serangan Iran terhadap kapal di laluan perairan itu telah mengganggu trafik dan menaikkan harga minyak, sekali gus memperdalam kesan ekonomi global akibat perang tersebut.

Seorang pegawai kanan AS memberitahu Axios bahawa campur tangan Iran di selat itu sebenarnya menguatkan pendirian Trump, bukannya mendorong beliau mempertimbangkan semula keputusan tersebut, menjadikannya lebih berkeras untuk meneruskan kempen ketenteraan.

Apabila serangan bermula pada 28 Februari, White House menjangkakan kempen yang agak singkat, sekitar empat hingga enam minggu.

Namun kini pegawai di Washington dan ibu kota sekutu sedang bersiap sedia untuk konfrontasi yang lebih panjang, dengan beberapa sumber memberitahu Axios bahawa penglibatan AS mungkin berlanjutan sehingga September, walaupun konflik itu mungkin beralih kepada fasa intensiti lebih rendah.

Perang tersebut sudah pun mengorbankan ramai nyawa. Sekitar 1,300 orang dilaporkan terbunuh di Iran sejak serangan bermula, termasuk pemimpin tertinggi negara itu, Ali Khamenei, manakala sekurang-kurangnya 14 anggota tentera AS turut terkorban sepanjang serangan tersebut.

Walaupun terdapat keraguan dalaman, White House tetap menegaskan bahawa serangan itu sedang melemahkan keupayaan ketenteraan Iran dan membantu mencapai objektif strategik Amerika Syarikat di rantau tersebut. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author