Terkini
Zamri Vinoth mengaku tidak bersalah tuduhan cetus kegentaran awam
- Mengikut pertuduhan, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu didakwa mengeluarkan satu kenyataan yang berpotensi menimbulkan kegentaran awam sehingga boleh mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
- Mahkamah kemudiannya membenarkan Zamri diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia sementara menunggu sebutan semula kes.
KUALA LUMPUR — Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berkaitan perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara bulan lalu.
Tertuduh yang lebih dikenali sebagai Zamri Vinoth membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
“Tidak bersalah,” kata Zamri dengan tenang ketika berdiri di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, aktivis itu didakwa mengeluarkan satu kenyataan yang berpotensi menimbulkan kegentaran awam sehingga boleh mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Zamri diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia sementara menunggu sebutan semula kes.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong memaklumkan bahawa beliau bertindak sebagai penjamin kepada Zamri dan telah membayar jumlah ikat jamin tersebut.-The Merdeka Times