Terkini
Himpunan GARAH: 11 individu saman polis, kerajaan dakwa tahanan salah
- Selain anggota PDRM, saman tersebut turut menamakan beberapa pihak sebagai defendan termasuk Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam; Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus; serta Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail.
- Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail; Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta kerajaan Malaysia.
- Menurut peguam, Zainul Rijal, tindakan saman itu dibuat selepas plaintif mendakwa berlaku pelanggaran hak di bawah Perkara 5, Perkara 9 dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjamin kebebasan diri, kebebasan bergerak dan hak berhimpun.
KUALA LUMPUR – Seramai 11 individu memfailkan saman terhadap tujuh pihak termasuk kerajaan Malaysia berhubung dakwaan penahanan salah ketika menyertai Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara bulan lalu.
Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman yang diketuai peguam, Zainul Rijal Abu Bakar.
Antara plaintif yang terlibat ialah Pegawai Khas Komunikasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi bersama sepuluh individu lain yang mendakwa hak kebebasan diri dan hak bergerak mereka telah dilanggar.
Selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), saman tersebut turut menamakan beberapa pihak sebagai defendan termasuk Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam; Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus; serta Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail; Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta kerajaan Malaysia.
Menurut Zainul Rijal, tindakan saman itu dibuat selepas plaintif mendakwa berlaku pelanggaran hak di bawah Perkara 5, Perkara 9 dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjamin kebebasan diri, kebebasan bergerak dan hak berhimpun.
Beliau juga mendakwa terdapat penggunaan kekerasan yang tidak perlu ketika proses tangkapan dilakukan oleh anggota polis terhadap beberapa peserta himpunan tersebut.
“Akibat penahanan salah ini, plaintif mengalami kehilangan kebebasan diri, kecederaan, ketidakselesaan fizikal, tekanan emosi serta menjejaskan maruah dan mental mereka,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Dalam tuntutan saman tersebut, plaintif menuntut deklarasi bahawa penahanan berkenaan adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, selain memohon permohonan maaf secara bertulis daripada semua defendan.
Plaintif turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah lima peratus serta kos tindakan yang akan ditentukan oleh mahkamah.
Pada 8 Februari lalu, polis menahan 19 individu termasuk penyelaras himpunan GARAH, Zamri Vinoth serta pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak berhampiran sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Ketika itu, pihak polis memaklumkan penahanan dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini atau kemungkinan berlakunya kesalahan jenayah susulan perhimpunan berkenaan.-The Merdeka Times