Connect with us

Terkini

KJ serah surat rayuan kembali ke pangkuan UMNO

Published

on

Foto: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
  • Perkara itu disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
  • “Dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin, yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO. Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa. Sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan,” jelas beliau.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilapor telah mengemukakan surat rayuan untuk kembali menyertai UMNO, menurut Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata beliau menerima kunjungan Khairy pada malam ke-26 Ramadan, di mana bekas Menteri Kesihatan itu menyerahkan sendiri surat rayuan bagi memohon untuk kembali bersama parti tersebut.

“Dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin, yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO.

“Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa. Sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan,” jelas beliau.

Menurut beliau, permohonan tersebut secara peribadi telah diterima dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin yang akan memperhalusi permohonan tersebut serta memberikan perakuan sewajarnya kepada kepimpinan parti.

Zahid berkata usaha membawa kembali tokoh-tokoh UMNO yang pernah berpisah merupakan sebahagian daripada inisiatif “Rumah Bangsa”, yang bertujuan merapatkan semula saf perjuangan parti.

Menurutnya, konsep itu membawa maksud menyatukan kembali individu yang pernah meninggalkan parti agar dapat bersama memperkukuh kekuatan UMNO.

“Dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering saya sebut, biduk lalu, kiambang bertaut. Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita,” katanya.

Beliau turut berharap inisiatif Rumah Bangsa dapat menjadi asas untuk mempertemukan kembali pemimpin serta ahli parti yang pernah berpisah, sekali gus mengukuhkan kembali UMNO sebagai teras politik orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Khairy sebelum ini dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 selepas didapati melanggar disiplin parti susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author