Terkini
Bahaya jika PDRM dilihat berat sebelah dalam isu rumah ibadat – A Kadir Jasin
- “Kerajaan dan apparatus kerajaan, khususnya Polis Diraja Malaysia, hendaklah nampak adil dan profesional menjalankan tugas. Jangan sampai nampak berat sebelah, ikut rentak politik dan hendak ampu ‘big bos’. Adalah amat berbahaya jika kerajaan terutama PDRM, nampak berat sebelah dalam menangani isu ini atau lebih hendak mengampu daripada menguatkuasakan ‘law and order’,” -Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin
- Sehubungan itu, beliau mengulangi cadangannya supaya kerajaan mewujudkan daftar rasmi rumah ibadat bagi semua agama bagi memastikan setiap rumah ibadat direkodkan dan dipantau secara teratur.
KUALA LUMPUR – Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin mengingatkan bahawa adalah amat berbahaya sekiranya kerajaan dan agensi penguatkuasaan, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), dilihat berat sebelah dalam menangani isu berkaitan rumah ibadat.
Beliau berkata keadaan akan menjadi lebih merisaukan sekiranya tindakan pihak berkuasa dilihat lebih cenderung untuk mengampu pihak tertentu daripada menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang (law and order).
Menurut A Kadir, isu rumah ibadat yang dibina atau beroperasi di atas tanah milik pihak lain bukan perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan selama berdekad-dekad di bawah pelbagai pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata kontroversi mengenai rumah ibadat yang menumpang di atas tanah pihak lain sering timbul kerana ketiadaan mekanisme pengurusan yang sistematik serta penguatkuasaan yang konsisten.
“Kerajaan dan apparatus kerajaan, khususnya Polis Diraja Malaysia, hendaklah nampak adil dan profesional menjalankan tugas. Jangan sampai nampak berat sebelah, ikut rentak politik dan hendak ampu ‘big bos’.
“Adalah amat berbahaya jika kerajaan terutama PDRM, nampak berat sebelah dalam menangani isu ini atau lebih hendak mengampu daripada menguatkuasakan ‘law and order’,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau mengulangi cadangannya supaya kerajaan mewujudkan daftar rasmi rumah ibadat bagi semua agama bagi memastikan setiap rumah ibadat direkodkan dan dipantau secara teratur.
Katanya, setiap pengasas atau pengurusan rumah ibadat, sama ada besar atau kecil, di kawasan bandar mahupun luar bandar, perlu diwajibkan mendaftar tempat ibadat masing-masing kepada pihak berkuasa berkaitan.
A Kadir turut mengingatkan bahawa sejarah negara pernah menyaksikan ketegangan kaum yang serius, termasuk insiden pergaduhan antara komuniti Melayu dan India di sekitar Kampung Medan pada tahun 2001 yang meragut beberapa nyawa dan mengakibatkan ramai cedera serta ditahan pihak berkuasa.
Menurut beliau, generasi muda hari ini mungkin kurang menyedari peristiwa tersebut, namun ia menjadi peringatan bahawa isu sensitif berkaitan agama dan kaum perlu ditangani secara berhati-hati dan berlandaskan undang-undang.
Beliau turut memberi amaran bahawa konflik yang dibiarkan berlarutan berpotensi membuka ruang kepada campur tangan kumpulan berkepentingan atau jenayah yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Sehubungan itu, A Kadir menegaskan bahawa kerajaan serta agensi penguat kuasa perlu memastikan tindakan yang diambil dilihat adil, profesional dan tidak dipengaruhi kepentingan politik, demi mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.-The Merdeka Times