Terkini
Zamri Vinoth dijangka didakwa di mahkamah hari ini
- Perkara itu tular selepas satu mesej yang beredar di aplikasi WhatsApp mendakwa Zamri akan dihadapkan ke mahkamah pagi ini.
- Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap pendakwah tersebut masih belum diperoleh secara rasmi daripada pihak berkuasa setakat ini.
- Peguam kepada Zamri, Haniff Khatri Abdulla, memaklumkan malam tadi bahawa anak guamnya berkemungkinan akan didakwa hari ini, namun beliau sendiri masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi berkaitan perkara itu.
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Zamri Vinoth dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini berhubung beberapa kenyataan yang didakwa berbaur perkauman serta berkaitan isu perhimpunan mengenai kuil tanpa kebenaran.
Perkara itu tular selepas satu mesej yang beredar di aplikasi WhatsApp mendakwa Zamri akan dihadapkan ke mahkamah pagi ini.
Mesej tersebut turut menggesa para penyokongnya berkumpul di kawasan mahkamah bagi memberi sokongan.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap pendakwah tersebut masih belum diperoleh secara rasmi daripada pihak berkuasa setakat ini.
Peguam kepada Zamri, Haniff Khatri Abdulla, memaklumkan malam tadi bahawa anak guamnya berkemungkinan akan didakwa hari ini, namun beliau sendiri masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi berkaitan perkara itu.
Zamri sebelum ini disiasat kerana didakwa membuat kenyataan yang menyasarkan komuniti India serta beberapa kenyataan lain berkaitan perhimpunan yang berlangsung pada 7 Februari lalu berhubung isu kuil tanpa kebenaran.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail sebelum ini memaklumkan bahawa polis turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan serta membawa pulang Zamri dan seorang lagi aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak.
Tamim juga dikehendaki pihak polis bagi membantu siasatan serta menghadapi pertuduhan berkaitan perbuatan merosakkan soolam, iaitu simbol suci dalam agama Hindu.
Kesalahan yang sedang disiasat itu difahamkan boleh membawa hukuman maksimum penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pihak media masih berusaha mendapatkan pengesahan rasmi daripada pihak polis dan mahkamah berhubung pertuduhan sebenar yang akan dikenakan terhadap Zamri.-The Merdeka Times