Terkini
(VIDEO) Rakyat desak pelaku serangan Zamri Vinoth, Cikgu Chandra dihukum
KUALA LUMPUR – Orang ramai menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didakwa melakukan kesalahan dalam isu melibatkan Zamri Vinoth dan Cikgu Chandra, selain menyeru rakyat Malaysia supaya kekal bersatu.
Hasil tinjauan The Merdeka Times di kawasan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, mendapati majoriti responden berpandangan bahawa sebarang kesalahan perlu ditangani mengikut undang-undang, tanpa mengira latar belakang individu terlibat.
Pekerja swasta, Kalaiselvan Perikarpan, 37, berkata rakyat tidak perlu terus berkonflik sebaliknya memberi keutamaan kepada perpaduan negara.
“Saya rasa tidak perlu bergaduh, kita satu Malaysia, sepatutnya hukuman dikenakan kepada mereka yang membuat kacau.
“Hukuman yang setimpal atau berat sepatutnya dikenakan terhadap si pelaku agar menjadi pengajaran buat semua pihak,” katanya kepada The Merdeka Times.
Sementara itu, pekerja swasta, Manu Shah Umesh Shah, 23, menegaskan individu yang melakukan kesalahan perlu ditahan dan disiasat oleh pihak berkuasa.
Beliau turut menyeru agar jangan diganggu atau menggugat keharmonian yang telah tercipta di Malaysia.
“Sepatutnya orang yang buat itu kena tangkap kerana mereka telah melakukan satu kesalahan atau jenayah. Negara kita ada undang-undang, janganlah dibuat ‘undang-undang’ sendiri.
“Kalau boleh janganlah diulangi perkara sebegini, sebagai rakyat Malaysia berbilang bangsa kita perlu jaga keharmonian hidup berbeza agama dan bangsa,” tegasnya.
Dalam pada itu, pesara, Ramasamy Chinnsamy, 79, menyatakan isu yang menyentuh sensitiviti agama tidak seharusnya berlaku dan menggesa semua pihak agar lebih berhati-hati demi menjaga keharmonian masyarakat.
“Saya tidak setuju untuk sekumpulan gangster ataupun individu tidak dikenali cuba menyerang Zamri Vinoth dan Cikgu Chandra kerana ia adalah satu kesalahan.
“Kalau dilihat isu ini mula dibangkitkan sejak kebelakangan ini, selama saya hidup isu ini tidak pernah jadi sebesar ini, seolah ada orang ‘di belakang’ yang cuba mengawal naratif.
“Sebagai rakyat, marilah kita bersatu menjaga keharmonian yang telah terbina selama ini,” ujarnya.
Tinjauan The Merdeka Times turut menunjukkan kebimbangan masyarakat terhadap isu yang berpotensi menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.
Orang ramai berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara telus dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keamanan serta perpaduan rakyat Malaysia terus terpelihara. – The Merdeka Times