Terkini
ADUN Rawang tolak permohonan Tamim Dahri sertai KEADILAN
- Dalam satu kenyataan media pada Isnin, Chua Wei Kiat berkata penerimaan Tamim sebagai ahli parti berkenaan berpotensi memberi mesej yang salah kepada masyarakat, seolah-olah parti tersebut mengalu-alukan pendekatan ekstrem dalam menangani isu berkaitan agama.
- “Kita akan memberi gambaran yang salah kepada umum, seolah-olah kita merestui tindakan merobohkan rumah ibadat tanpa melibatkan pihak berkuasa, sedangkan kita telah menggariskan syarat agar prosedur undang-undang itu dipatuhi, untuk mengelakkan ketegangan kaum dalam kalangan Masyarakat,” jelasnya.
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat menyatakan pendirian menolak cadangan untuk menerima aktivis kontroversi Tamim Dahari Abdul Razak sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Dalam satu kenyataan media pada Isnin, Chua berkata penerimaan Tamim sebagai ahli parti berkenaan berpotensi memberi mesej yang salah kepada masyarakat, seolah-olah parti tersebut mengalu-alukan pendekatan ekstrem dalam menangani isu berkaitan agama.
Menurut beliau, KEADILAN sejak awal penubuhannya berpegang kepada prinsip kesederhanaan, keterangkuman dan keadilan dalam menguruskan konflik dalam masyarakat majmuk di negara ini.
“Jika KEADILAN menerima permohonan aktivis kontroversi seperti Tamim Dahri, ia boleh memberi gambaran bahawa parti ini merestui pendekatan ekstrem dalam isu agama,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa parti tersebut berjaya memperoleh sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008 apabila melonjak daripada satu kerusi Parlimen pada 2004 kepada 31 kerusi, selain berjaya membentuk kerajaan negeri bersama rakan sekutu ketika itu.
Menurut Chua, kejayaan tersebut berpunca daripada komitmen parti yang konsisten mempertahankan pendekatan politik sederhana serta mengutamakan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Katanya, walaupun landskap politik sering dipengaruhi oleh naratif keras yang menonjolkan isu agama dan kaum, KEADILAN tetap memilih pendekatan jalan tengah dengan menekankan nilai persaudaraan sesama manusia.
Beliau turut menegaskan bahawa parti itu tidak seharusnya memberi gambaran seolah-olah merestui tindakan merobohkan rumah ibadat tanpa melalui proses undang-undang yang sewajarnya.
“Prosedur undang-undang perlu dipatuhi bagi mengelakkan ketegangan antara kaum dalam masyarakat,” katanya.
Chua menambah bahawa KEADILAN perlu terus mempertahankan imej politik kesederhanaan dan keterangkuman, khususnya ketika ada pihak yang mempersoalkan kekuatan idealisme reformasi parti tersebut.
Menurutnya, parti itu harus menghantar mesej jelas bahawa tiada ruang untuk provokasi berasaskan sentimen kaum atau agama dalam perjuangan politiknya.
“KEADILAN harus terus menegakkan nilai kemanusiaan, keadilan dan kepelbagaian dalam masyarakat,” katanya.-The Merdeka Times