Terkini
Aktivis persoal doktor bela kuil haram dekat Hospital Bukit Mertajam, Desak penjelasan KKM
- Aktivis, Tamim Dahari Abdul Razak mempersoalkan sama ada kenyataan doktor tersebut mencerminkan pendirian rasmi pihak hospital atau Kementerian Kesihatan (KKM), lebih-lebih lagi apabila lokasi kuil berkenaan didakwa berada di atas tanah rizab hospital.
- Menurut beliau, selama ini pihaknya memilih untuk tidak menyasarkan KKM dalam kempen membanteras binaan kuil haram walaupun terdapat kes yang melibatkan tanah rizab hospital.
- “Kita beranggapan KKM adalah mangsa dalam isu ini, walaupun sebagai pengguna tanah, KKM berhak dan mempunyai locus standi untuk mendesak tindakan ke atas binaan sebegini, tambah pula apabila ia sudah menjejaskan operasi dan secara langsung, kesihatan dan nyawa pesakit,” katanya.
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang doktor yang didakwa mempertahankan kewujudan kuil haram berhampiran Hospital Bukit Mertajam sehingga dianggap menyokong perarakan dan keramaian yang bising di sebelah hospital menimbulkan persoalan dalam kalangan aktivis yang sebelum ini giat memperjuangkan isu berkenaan.
Aktivis, Tamim Dahari Abdul Razak mempersoalkan sama ada kenyataan doktor tersebut mencerminkan pendirian rasmi pihak hospital atau Kementerian Kesihatan (KKM), lebih-lebih lagi apabila lokasi kuil berkenaan didakwa berada di atas tanah rizab hospital.
Menurut beliau, selama ini pihaknya memilih untuk tidak menyasarkan KKM dalam kempen membanteras binaan kuil haram walaupun terdapat kes yang melibatkan tanah rizab hospital.
“Semenjak kita lawan kuil haram, kita petik PBT, Pejabat Tanah dan PDRM.
“Tapi kita masih menahan diri tak petik KKM, walaupun banyak kuil-kuil haram dibina atas tanah rizab hospital.
“Kita beranggapan KKM adalah mangsa dalam isu ini, walaupun sebagai pengguna tanah, KKM berhak dan mempunyai locus standi untuk mendesak tindakan ke atas binaan sebegini, tambah pula apabila ia sudah menjejaskan operasi dan secara langsung, kesihatan dan nyawa pesakit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, pihaknya sebelum ini membiarkan apa yang disifatkan sebagai “kebisuan” KKM berhubung isu berkenaan kerana menganggap kementerian tersebut perlu memberi tumpuan kepada rawatan pesakit.
“‘Kebisuan’ KKM daripada level menteri sampai pengarah hospital, kami biarkan. Tidak mengapa. Kamu fokus kerja rawat pesakit, biar kami saja lawan.
“Tapi bila ada doktor dari Hospital Bukit Mertajam sendiri yang keluarkan kenyataan membela kuil haram, malah dipetik nama kawannya pula, kami tertanya-tanya, adakah ini juga pendirian rasmi KKM,” tegasnya.
Tamim turut mempersoalkan tindakan doktor tersebut yang didakwa mengugut untuk meletakkan jawatan sekiranya kuil berkenaan dirobohkan.
“Boleh pula siap ugut, nak letak jawatan KKM kalau kuil itu dirobohkan? Kau ini jaga pesakit ke jaga kuil?
“Dari ED masuk wad memang tak ganggu. Yang korang tak nampak pesakit dari luar, dari rumah, yang ada kecemasan nak sampai ke ED tu. Kereta sendiri mahupun ambulans. Korang juga yang kena resus nanti,” katanya.
Beliau menambah, secara umum masyarakat memahami bahawa kawasan hospital sepatutnya bebas daripada gangguan bunyi dan kesesakan.
“Tak payah jadi doktor pun, tahu common sense hospital tempat larangan bising, larangan bunyikan hon.
“Macam mana seorang doktor boleh kata tak apa, perarakan bising seharian yang jelas mengganggu pesakit,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Hospital Bukit Mertajam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang serta Kementerian Kesihatan Malaysia menjelaskan pendirian rasmi mereka berhubung isu tersebut.
“Bila beriya sangat macam ini, memang mengundang. Kita desak Hospital Bukit Mertajam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Kesihatan Malaysia beri penjelasan.
“Apakah pendirian KKM mengenai isu kuil haram dan adakah individu ini selaku doktor di Hospital Bukit Mertajam boleh dikira pendirian Hospital Bukit Mertajam,” ujarnya. – The Merdeka Times