Terkini
Zamri Vinoth puji polis, dakwa suspek serangan sudah ditahan
- Menerusi satu kenyataan di media sosial, pendakwah bebas, Zamri Vinoth merakamkan penghargaan kepada pihak polis khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah atas tindakan pantas yang diambil dalam kes tersebut.
- “Alhamdulillah, seekor lagi dah kena cekup. Syabas PDRM IPD Seberang Prai Tengah,” katanya dalam kenyataan tersebut.
- Dalam kenyataan berasingan, Zamri mendakwa beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam serangan telah dikenal pasti namun masih melarikan diri dan sukar dihubungi, sambil mempersoalkan kemungkinan wujud pihak tertentu yang melindungi mereka.
BUKIT MERTAJAM – Pendakwah bebas, Zamri Vinoth memuji tindakan pihak polis selepas seorang lagi individu dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan insiden serangan terhadapnya baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan di media sosial, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak polis khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah atas tindakan pantas yang diambil dalam kes tersebut.
“Alhamdulillah, seekor lagi dah kena cekup. Syabas PDRM IPD Seberang Prai Tengah,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, beliau turut mendakwa bahawa kejadian yang berlaku sebelum ini menjadi bukti kewujudan unsur ekstremisme yang berpunca daripada isu berkaitan kuil yang didakwa dibina secara tidak sah.
Beliau juga mempersoalkan sama ada lokasi tersebut menjadi tempat yang mencetuskan kegiatan jenayah, sambil menegaskan bahawa wakil rakyat sepatutnya memainkan peranan mendidik masyarakat dan bukannya mempertahankan pihak yang didakwa terlibat dalam kesalahan.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pekerja kilang telah direman bagi membantu siasatan kes khianat terhadap harta benda serta ugutan jenayah terhadap Zamri.
Mahkamah Majistret Bukit Mertajam sebelum ini membenarkan perintah reman selama empat hari terhadap lelaki tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili suspek, C. Hari Prassaad Rao memaklumkan bahawa mahkamah kemudian memanggil semula perintah reman tersebut sebelum memutuskan tempoh reman hanya selama satu hari.
Susulan keputusan itu, lelaki tersebut dibebaskan kira-kira jam 7.30 malam dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah selepas memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.
Sebelum ini, lelaki berkenaan ditahan selepas sebuah video tular memaparkan motosikal miliknya digunakan dalam insiden serangan terhadap Zamri yang berlaku kira-kira jam 3 petang di tepi jalan di Taman Aston Acacia.
Dalam kenyataan berasingan, Zamri turut menjelaskan bahawa lelaki tersebut bukan individu yang melakukan serangan, sebaliknya hanya pemilik motosikal yang digunakan dalam kejadian itu.
Beliau mendakwa beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam serangan telah dikenal pasti namun masih melarikan diri dan sukar dihubungi, sambil mempersoalkan kemungkinan wujud pihak tertentu yang melindungi mereka.-The Merdeka Times