Terkini
Mushaf al-Quran tanpa pengesahan KDN tidak boleh dijual di Malaysia – Mufti Pulau Pinang
- Mufti Pulau Pinang, Mohd Sukki Othman berkata, dari sudut peraturan negara, setiap mushaf al-Quran yang dicetak atau diimport perlu melalui proses pengesahan sebelum ia dibenarkan untuk diedarkan kepada masyarakat.
- “Langkah ini penting bagi mengelakkan kekeliruan atau penyebaran mushaf yang mungkin mengandungi kesilapan. Kerajaan pula mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mendepani isu seperti ini secara bijaksana,” jelas beliau
GEORGE TOWN – Mushaf al-Quran yang tidak mendapat pengesahan sewajarnya tidak boleh diedarkan atau dijual secara bebas di pasaran Malaysia bagi memastikan ketepatan teks kitab suci tersebut terpelihara.
Mufti Pulau Pinang, Mohd Sukki Othman berkata, dari sudut peraturan negara, setiap mushaf al-Quran yang dicetak atau diimport perlu melalui proses pengesahan sebelum ia dibenarkan untuk diedarkan kepada masyarakat.
Menurut beliau, keperluan tersebut diwujudkan bagi menjaga integriti serta memastikan ketepatan teks al-Quran yang sampai kepada umat Islam di negara ini.
“Dengan adanya sistem pengesahan, setiap naskhah al-Quran yang dicetak atau diimport akan melalui proses semakan oleh pakar sebelum dibenarkan diedarkan,” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau menjelaskan bahawa proses semakan tersebut penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat selain mencegah penyebaran mushaf yang mungkin mengandungi kesilapan dari segi teks atau percetakan.
Di Malaysia jelas beliau, kawalan terhadap percetakan dan pengedaran mushaf al-Quran diletakkan di bawah pengawasan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan Al‑Quran melalui Akta Pencetakan Teks Al‑Quran 1986.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan mempunyai tanggungjawab besar untuk menangani isu berkenaan secara bijaksana melalui pendekatan penguatkuasaan undang-undang serta pendidikan kepada masyarakat.
Katanya, tindakan penguatkuasaan perlu diambil terhadap penerbit atau pengedar yang gagal mematuhi peraturan berkaitan pengesahan mushaf al-Quran.
Namun begitu, beliau turut menjelaskan bahawa cop pengesahan pada mushaf bukanlah penentu kesahihan al-Quran dari sudut agama, sebaliknya ia merupakan satu mekanisme pentadbiran bagi memastikan ketepatan teks yang diedarkan kepada masyarakat.
Menurut beliau lagi, pendedahan yang jelas mengenai fungsi sistem pengesahan tersebut penting bagi mengelakkan salah faham dan polemik yang tidak perlu dalam kalangan masyarakat.
Justeru, beliau berharap masyarakat dapat memahami tujuan sebenar sistem pengesahan mushaf al-Quran yang diperkenalkan bagi memastikan kesucian serta ketepatan kitab suci itu terus terpelihara.-The Merdeka Times