Connect with us

Terkini

Konflik Asia Barat dijangka tekan inflasi global, boleh jejas rakyat tempatan

Published

on

Foto: Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Dr. Mohd Fairuz Abdul Razak.
  • Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Dr. Mohd Fairuz Abdul Razak berkata beberapa sektor utama dijangka terjejas teruk akibat konflik di Asia Barat, termasuk pengangkutan dan logistik serta sektor penerbangan dan pelancongan.
  • Selain itu, sektor lain dijangka terjejas ialah industri pembuatan dan elektronik, industri makanan dan pertanian serta pasaran kewangan yang menjadi tidak menentu dengan pelabur beralih kepada aset selamat seperti emas.
  • “Bagi rakyat, kesan utama yang mungkin dirasai termasuk kenaikan harga petrol dan diesel, harga makanan serta barangan import yang meningkat, kos pengangkutan yang tinggi, dan tekanan terhadap kos sara hidup,” katanya.

KUALA LUMPUR – Konflik yang berlaku di Asia Barat dijangka memberi tekanan kepada inflasi global melalui kenaikan harga tenaga dan gangguan rantaian bekalan, kata Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Dr. Mohd Fairuz Abdul Razak. 

Menurut beliau, Asia Barat merupakan kawasan strategik bagi pengeluaran minyak dunia dan sebarang gangguan laluan perdagangan seperti Selat Hormuz atau Laut Merah akan meningkatkan kos penghantaran minyak dan gas. 

Ini katanya memberi kesan kepada kos pengangkutan, pengeluaran serta harga barangan pengguna.

Beliau menambah konflik geopolitik juga menyebabkan ketidaktentuan perdagangan global. 

“Walaupun tarif perdagangan mungkin tidak meningkat secara langsung akibat konflik, negara-negara besar boleh mengambil langkah perlindungan perdagangan.

“Antaranya seperti sekatan eksport, sekatan teknologi atau tarif tambahan bagi melindungi industri domestik mereka. Ini berpotensi meningkatkan kos import di banyak negara,” katanya kepada The Merdeka Times.

Secara ringkas katanya, konflik tersebut boleh menyebabkan inflasi “imported inflation”, iaitu kenaikan harga yang berpunca daripada kos luar negara.

Dr. Mohd Fairuz menjelaskan beberapa sektor utama dijangka terjejas teruk akibat konflik di Asia Barat, termasuk pengangkutan dan logistik akibat kos bahan api tinggi dan gangguan laluan kapal; penerbangan dan pelancongan kerana harga minyak jet meningkat dan risiko keselamatan.

Selain itu, sektor lain dijangka terjejas, menurutnya, industri pembuatan dan elektronik melalui kenaikan kos bahan mentah dan komponen; industri makanan dan pertanian akibat kos pengangkutan dan baja yang lebih tinggi; serta pasaran kewangan yang menjadi tidak menentu dengan pelabur beralih kepada aset selamat seperti emas.

“Bagi rakyat, kesan utama yang mungkin dirasai termasuk kenaikan harga petrol dan diesel, harga makanan serta barangan import yang meningkat, kos pengangkutan yang tinggi, dan tekanan terhadap kos sara hidup.

“Pada saya, kerajaan disaran untuk mengambil langkah seperti Pengurusan subsidi bersasar bagi menstabilkan harga bahan api dan makanan asas; memperkukuh keselamatan makanan domestik melalui peningkatan pengeluaran tempatan.

“Selain itu, diversifikasi sumber tenaga termasuk tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kebergantungan kepada minyak import; memperluas hubungan perdagangan serantau, khususnya dalam ASEAN, bagi mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan global; serta pemantauan harga dan kawalan anti pencatutan bagi memastikan pengguna tidak dibebankan secara tidak munasabah,” katanya.

Dr. Mohd Fairuz menegaskan konflik di Asia Barat bukan sekadar isu geopolitik serantau tetapi mempunyai implikasi ekonomi global yang sangat luas. 

“Dalam ekonomi moden yang sangat saling bergantung, sebarang gangguan di kawasan strategik tenaga boleh memberi kesan domino kepada banyak negara,” jelasnya.

Bagi Malaysia, beliau menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan ekonomi domestik melalui diversifikasi tenaga, transformasi digital ekonomi, serta pengukuhan rantaian bekalan tempatan. 

Tambahnya, kestabilan geopolitik merupakan faktor penting bagi kestabilan ekonomi dunia, dan kerjasama diplomatik serta keamanan antarabangsa amat diperlukan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi global berterusan. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author