Terkini
Ops Terjahan Rumah Anutan Haram batal: Penganjur himpunan, pengurusan kuil berdamai
- Himpunan berkaitan Operasi Terjahan Rumah Anutan Haram yang dirancang berlangsung di hadapan Hospital Bukit Mertajam esok tidak akan diteruskan selepas penganjurnya, Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus) dan pengurusan Kuil Sri Dewi Muniswarar mencapai persetujuan untuk berdamai.
- “Kami pada mulanya bercadang untuk turun padang melihat keadaan sahaja selepas isu itu (kuil haram) ‘viral’ satu negara. Dalam hal ini, orang tak tahu macam mana keadaan apa yang berlaku di situ, apa bentuk gangguan dan sebagainya.
- “Jadi, kita nak turun semata-mata untuk kita maklumkan kepada masyarakat. Namun, apabila isu ini ‘diviralkan’ di media sosial yang kononnya kita nak pergi buat perobohan kuil, maka, itu sama sekali tidak betul sebab kita cuma NGO dan kita tak ada kuasa,” kata Pengerusi Surplus, Sophian Mohd. Zain
BUKIT MERTAJAM – Himpunan berkaitan Operasi Terjahan Rumah Anutan Haram yang dirancang berlangsung di hadapan Hospital Bukit Mertajam esok tidak akan diteruskan selepas penganjurnya, Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus) dan pengurusan Kuil Sri Dewi Muniswarar mencapai persetujuan untuk berdamai.
Keputusan itu dicapai selepas wakil kedua-dua pihak menghadiri satu perbincangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah selama lebih setengah jam dan disaksikan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Helmi Aris, pagi tadi.
Pengerusi Surplus, Sophian Mohd. Zain, berkata pihaknya memilih untuk tidak meneruskan isu berkenaan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang, lebih-lebih lagi kerana sebuah perayaan tahunan akan diadakan di kuil tersebut esok.
Menurut beliau, rancangan asal mereka hanyalah untuk turun ke lokasi bagi meninjau keadaan selepas isu berkaitan kuil berkenaan menjadi tular di seluruh negara.
“Kami pada mulanya bercadang untuk turun padang melihat keadaan sahaja selepas isu itu (kuil haram) ‘viral’ satu negara. Dalam hal ini, orang tak tahu macam mana keadaan apa yang berlaku di situ, apa bentuk gangguan dan sebagainya.
“Jadi, kita nak turun semata-mata untuk kita maklumkan kepada masyarakat. Namun, apabila isu ini ‘diviralkan’ di media sosial yang kononnya kita nak pergi buat perobohan kuil, maka, itu sama sekali tidak betul sebab kita cuma NGO dan kita tak ada kuasa,” katanya yang dilaporkan Utusan Malaysia.
Kelmarin, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, menasihatkan penganjur supaya tidak meneruskan perhimpunan berkenaan. Beliau turut menegaskan pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya himpunan itu tetap diadakan selepas laporan polis berkaitan perkara tersebut dibuat.
Terdahulu, satu poster mengenai himpunan berkenaan tular di media sosial dan dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan orang ramai bagi mendesak pihak berkuasa merobohkan kuil yang dibina di hadapan hospital itu.
Sementara itu, Pengerusi Kuil Sri Dewi Muniswarar, M. Karthikesan, berkata beliau juga tidak mahu perkara tersebut dipanjangkan memandangkan kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk berdamai demi menjaga keharmonian.
“Kami membincangkan perkara ini dengan tenang. Tidak ada sebarang mogok atau bantahan yang dirancang (oleh penganut Hindu) berhubung isu yang sama,” katanya. – The Merdeka Times