Connect with us

Terkini

UMNO buka pintu kepada bekas ahli tanpa syarat

Published

on

Foto: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  • Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu dilihat sebagai usaha memperkukuh kembali kekuatan parti dengan menyatukan semula ahli-ahli yang pernah bersama perjuangan UMNO sebelum ini.
  • “Atas semangat tersebut, UMNO membuka pintu Rumah Bangsa ini seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali atau mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan ini untuk menyertai UMNO,” katanya.
  • “Sehubungan itu, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Datuk Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin akan menyelaraskan proses ini dengan segera melalui tatacara yang bersesuaian menurut Perlembagaan UMNO,” jelasnya.

KUALA LUMPUR – UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahliannya untuk kembali menyertai parti tersebut.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu dilihat sebagai usaha memperkukuh kembali kekuatan parti dengan menyatukan semula ahli-ahli yang pernah bersama perjuangan UMNO sebelum ini.

“Sempena keberkatan Ramadan Al-Mubarak, bulan yang mengajak umat Islam bermuhasabah, memperbaiki hubungan dan memperkukuh ukhuwah, UMNO melihat kesempatan ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan kembali tali perjuangan parti.

“Hakikatnya, sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada kekuatan struktur organisasi, tetapi terbina atas sokongan, dokongan dan kebersamaan seluruh ahlinya di setiap peringkat.

“Atas semangat tersebut, UMNO membuka pintu Rumah Bangsa ini seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali atau mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan ini untuk menyertai UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, UMNO memaklumkan segala kekhilafan serta perbezaan yang berlaku sebelum ini dimaafkan sepenuhnya bagi membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kembali keluarga besar parti itu.

Jelasnya, proses penyelarasan kemasukan semula ahli akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Mohamed Khaled Nordin.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin akan menyelaraskan proses ini dengan segera melalui tatacara yang bersesuaian menurut Perlembagaan UMNO.

“Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah Subhanahuwataala dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi Agama, Bangsa dan Tanah Air, serta memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara,” ujarnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author