Connect with us

Terkini

Jangan tutup kritikan, tekan media, netizen – Wee Ka Siong

Published

on

Foto: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
  • Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengawal selia termasuk SKMM perlu memastikan tindakan yang diambil tidak bertujuan menutup kritikan atau menekan wartawan serta pengguna media sosial.
  • Menurut beliau, dalam sistem demokrasi, media berperanan sebagai ‘kuasa keempat’ yang penting dalam memastikan wujud ruang perbincangan awam serta penyampaian pandangan rakyat.
  • “Dalam masyarakat demokrasi, kebebasan media dan hak rakyat untuk bersuara perlu dipelihara,” katanya.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa diingatkan supaya tidak menyalahgunakan kuasa dalam menangani isu berkaitan media dan kandungan dalam talian sehingga menjejaskan kebebasan bersuara serta peranan media dalam masyarakat.

Memetik laporan The Star, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengawal selia termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu memastikan tindakan yang diambil tidak bertujuan menutup kritikan atau menekan wartawan serta pengguna media sosial.

Menurut beliau, dalam sistem demokrasi, media berperanan sebagai ‘kuasa keempat’ yang penting dalam memastikan wujud ruang perbincangan awam serta penyampaian pandangan rakyat.

“Dalam masyarakat demokrasi, kebebasan media dan hak rakyat untuk bersuara perlu dipelihara,” katanya ketika berucap pada Majlis MCA Media Nite 2026, semalam.

Beliau melahirkan kebimbangan terhadap beberapa perkembangan mutakhir berkaitan tindakan terhadap kandungan media dan hantaran di platform digital.

Antara yang dibangkitkan termasuk penurunan beberapa video berkaitan MCA serta tindakan terhadap peguam dan kolumnis, Ang Woei Shang, yang kandungan Facebook miliknya didakwa disekat.

Menurutnya, sekiranya sesuatu perbuatan dianggap melanggar undang-undang, individu terbabit seharusnya didakwa di mahkamah dan proses perundangan perlu dihormati.

“Jika ada kesalahan, dakwa di mahkamah dan biar undang-undang menentukan. Tidak seharusnya wujud tekanan yang tidak demokratik atau tindakan sewenang-wenangnya,” katanya.

Beliau turut menyifatkan laporan mengenai eksekutif media dan editor dipanggil pihak berkuasa, pengguna media sosial disiasat polis, telefon dirampas serta tindakan undang-undang terhadap komen dalam talian sebagai perkembangan yang membimbangkan.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa berkaitan, khususnya SKMM, tidak menyalahgunakan kuasa atau bertindak secara sewenang-wenangnya dalam menangani isu melibatkan media dan ruang digital.

Dalam pada itu, beliau menegaskan wartawan perlu melaksanakan tugas secara bertanggungjawab dan mengelakkan penyiaran berita berunsur fitnah, namun pada masa sama harus diberikan kebebasan untuk menjalankan tugas tanpa tekanan.

“Media menyediakan ruang kepada perbincangan awam. Sebagai sebuah parti politik, MCA sentiasa menghormati ruang tersebut serta suara rakyat,” ujarnya.

Majlis yang diadakan bersempena bulan Ramadan serta sambutan Tahun Baharu Cina itu mencatat kehadiran tertinggi rakan media MCA dengan penyertaan ratusan pengamal media. – The Merdeka Times.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author