Terkini
BERSIH desak Azam Baki letak jawatan, Dakwa SPRM diperalat untuk tekanan politik
- Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, meletakkan jawatan serta-merta susulan kebimbangan terhadap arah tuju badan penguat kuasa tersebut yang didakwa semakin menyimpang daripada mandat asalnya.
- Gabungan itu juga menuntut penubuhan panel bebas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua dakwaan yang dibangkitkan termasuk tuduhan mengenai kewujudan “mafia korporat” dalam SPRM.
KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, meletakkan jawatan serta-merta susulan kebimbangan terhadap arah tuju badan penguat kuasa tersebut yang didakwa semakin menyimpang daripada mandat asalnya.
Dalam satu kenyataan media pada 5 Mac 2026, BERSIH mendakwa SPRM kini dilihat semakin digunakan sebagai alat untuk intimidasi politik dan pendedahan maklumat yang boleh mencemarkan reputasi individu.
Menurut gabungan itu, kebimbangan tersebut timbul susulan tindakan SPRM mengeluarkan notis pencarian terhadap seorang individu dikenali sebagai James Chai, bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
BERSIH mendakwa notis tersebut turut memaparkan alamat rumah keluarga Chai, termasuk kediaman ibu bapanya yang sudah lanjut usia, walaupun individu berkenaan mendakwa tidak pernah dihubungi secara langsung oleh pihak penyiasat sebelum itu.
Menurut BERSIH, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai satu bentuk “institutional doxxing” yang bertujuan memalukan individu terbabit dan mewujudkan persepsi bersalah sebelum sebarang siasatan telus dijalankan.
Gabungan itu turut menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan tersebut berlaku ketika beberapa pihak termasuk Rafizi Ramli dilihat lantang memperjuangkan reformasi institusi, termasuk dalam perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dianjurkan oleh aktivis masyarakat sivil dan pelajar.
BERSIH juga menyatakan bahawa keyakinan awam terhadap SPRM kini berada pada tahap rendah susulan laporan penyiasatan oleh Bloomberg yang mendedahkan dakwaan kaitan “mafia korporat” dalam agensi tersebut serta persoalan berterusan berhubung pegangan saham oleh Azam Baki.
Dalam kenyataan sama, BERSIH turut mengkritik tindakan pihak berkuasa yang didakwa menghantar polis ke pejabat Bloomberg di Malaysia bagi mengesan wartawan yang terlibat dalam laporan penyiasatan tersebut.
Menurut gabungan itu, usaha melabel laporan penyiasatan media antarabangsa sebagai “campur tangan asing” disifatkan sebagai taktik yang pernah digunakan ketika skandal 1MDB dahulu untuk menekan media dan aktivis.
BERSIH turut menyifatkan keadaan itu sebagai ironi memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah mendapat sokongan kuat daripada media antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia ketika berdepan tekanan politik pada masa lalu.
Sehubungan itu, BERSIH mengemukakan beberapa tuntutan termasuk mendesak Azam Baki meletakkan jawatan, melaksanakan reformasi terhadap proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen serta menghentikan tindakan intimidasi terhadap wartawan dan individu yang disiasat.
Gabungan itu juga menuntut penubuhan panel bebas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua dakwaan yang dibangkitkan termasuk tuduhan mengenai kewujudan “mafia korporat” dalam SPRM.
Menurut BERSIH, kerajaan tidak boleh mendakwa komited memerangi rasuah sekiranya pegawai tertinggi agensi penguat kuasa antirasuah tidak tertakluk kepada tahap penelitian yang sama seperti pihak lain.-The Merdeka Times