Connect with us

Terkini

Operasi Lynas perlu dipantau ketat, Data alam sekitar perlu dibuka kepada awam – Pakar UKM

Published

on

Foto: Pensyarah Kanan Program Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer (Gambar kecil)
  • Pensyarah Kanan Program Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata setiap aktiviti operasi syarikat Lynas perlu dipantau secara rapi dengan membandingkan data semasa dengan kajian garis dasar (baseline study) alam sekitar.
  • “Bagi menangani kebimbangan NGO, kerajaan perlu menguatkuasakan protokol pengurusan dan mitigasi sisa yang ketat tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Merdeka Times.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menguatkuasakan protokol pengurusan dan mitigasi sisa yang ketat tanpa kompromi bagi menangani kebimbangan yang dibangkitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap operasi industri pemprosesan unsur nadir bumi (REE) di negara ini.

Pensyarah Kanan Program Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata setiap aktiviti operasi syarikat Lynas perlu dipantau secara rapi dengan membandingkan data semasa dengan kajian garis dasar (baseline study) alam sekitar.

Menurut beliau, kajian garis dasar tersebut merangkumi parameter penting seperti geokimia, geologi, hidrologi serta data kualiti udara asal kawasan bagi mengesan sebarang perubahan terhadap keadaan alam sekitar secara tepat.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan itu penting bagi memastikan sebarang perubahan terhadap kualiti alam sekitar dapat dikenal pasti lebih awal dan ditangani secara saintifik.

“Bagi menangani kebimbangan NGO, kerajaan perlu menguatkuasakan protokol pengurusan dan mitigasi sisa yang ketat tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Merdeka Times.

Tambah beliau, sistem pemantauan yang lebih baik boleh dilaksanakan sekiranya data pemantauan alam sekitar tersebut dibangunkan secara masa nyata (real time).

Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah badan pemantau bebas yang terdiri daripada pakar akademik serta teknikal bagi menjalankan audit berkala terhadap integriti Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) serta operasi berkaitan.

Menurutnya, badan pemantau bebas itu juga boleh menjalankan pemantauan rapi terhadap sistem akuifer bawah tanah bagi mengelakkan risiko migrasi bahan kontaminan ke kawasan sekitar.

Dr Nor Shahidah menegaskan bahawa ketelusan maklumat juga merupakan elemen penting bagi membina kepercayaan awam terhadap operasi industri tersebut.

“Paling penting, demi membina kepercayaan awam, segala hasil dapatan pemantauan dan laporan impak ini mestilah boleh diakses secara terbuka oleh orang awam melalui portal data yang telus, memastikan setiap fasa operasi mematuhi piawaian keselamatan  yang tinggi tanpa sebarang keraguan,” jelasnya.

Menurut beliau, pendekatan tersebut dapat memastikan setiap fasa operasi industri mematuhi piawaian keselamatan alam sekitar yang tinggi tanpa menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau juga melihat pelanjutan lesen operasi industri pemprosesan REE memberi manfaat besar kepada Malaysia kerana mampu menjamin kestabilan rantaian bekalan mineral kritikal yang penting kepada teknologi hijau global.

Langkah tersebut jelasnya, secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pemprosesan strategik unsur nadir bumi di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, dari sudut mikroekonomi, pelanjutan lesen itu turut membantu mengekalkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta menyokong pertumbuhan ekosistem vendor tempatan yang berkaitan dengan industri tersebut.

Dalam masa sama, Dr Nor Shahidah menegaskan Malaysia perlu membangunkan industri nadir bumi secara mandiri, sejajar dengan usaha penerokaan REE berskala besar yang sedang dijalankan di negara ini.

Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan Malaysia tidak sekadar mengeksport unsur nadir bumi mentah, sebaliknya mampu menguasai keseluruhan rantaian nilai industri itu daripada perlombongan hingga penghasilan produk berteknologi tinggi.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author