Connect with us

Terkini

“Jawapan tak jawab soalan” – Wee Ka Siong kritik KPT isu pengambilan universiti

Published

on

Foto: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
  • Menerusi satu hantaran di Facebook, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata peluang memasuki universiti awam merupakan antara isu yang paling membimbangkan bagi masyarakat Cina, terutama bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.
  • Wee telah mengemukakan soalan kepada KPT bagi mendapatkan data terperinci mengenai jumlah pelajar yang diterima melalui UPU bagi kursus popular di universiti awam.
  • “Jawapan daripada kementerian tersebut benar-benar mengelak soalan iaitu setiap universiti mempunyai mekanisme pengambilan sendiri dan ia tidak menjejaskan UPU. “Eh! Apa yang rakyat ingin tahu ialah angka sebenar — berapa orang yang masuk melalui UPU, khususnya bagi kursus-kursus popular,” tegas beliau.

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan ketelusan proses pengambilan pelajar ke universiti awam, khususnya bagi kursus popular seperti perubatan, farmasi dan undang-undang, selepas mendakwa jawapan yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak menjawab persoalan sebenar yang dibangkitkan di Parlimen.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata peluang memasuki universiti awam merupakan antara isu yang paling membimbangkan bagi masyarakat Cina, terutama bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.

Menurut beliau, walaupun MCA sebelum ini berjaya memperjuangkan kuota 10 peratus tempat dalam program matrikulasi untuk pelajar bukan Bumiputera sejak beberapa dekad lalu, kuota tersebut tidak pernah ditambah walaupun berlaku pertukaran kerajaan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai pelajar Cina terpaksa melalui laluan Tingkatan Enam dan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum memohon kemasukan ke universiti awam melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU).

Namun, beliau mendakwa dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, graduan STPM jarang mendapat tawaran kemasukan melalui saluran UPU bagi kursus-kursus popular.

Sebaliknya, menurut beliau, sebahagian daripada pelajar yang sama didakwa diterima melalui saluran pengambilan terbuka yang mengenakan yuran pengajian jauh lebih tinggi berbanding saluran biasa.

Sehubungan itu, Wee berkata beliau telah mengemukakan soalan kepada KPT bagi mendapatkan data terperinci mengenai jumlah pelajar yang diterima melalui UPU bagi kursus popular di universiti awam.

Bagaimanapun, beliau mendakwa jawapan yang diberikan kementerian tersebut sekadar menyatakan bahawa setiap universiti mempunyai mekanisme pengambilan sendiri dan proses tersebut tidak menjejaskan sistem UPU.

“Jawapan daripada kementerian tersebut benar-benar mengelak soalan iaitu setiap universiti mempunyai mekanisme pengambilan sendiri dan ia tidak menjejaskan UPU.

“Eh! Apa yang rakyat ingin tahu ialah angka sebenar — berapa orang yang masuk melalui UPU, khususnya bagi kursus-kursus popular,” tegas beliau.

Wee turut menegaskan bahawa beliau akan terus mengemukakan persoalan tersebut di Parlimen sehingga kementerian memberikan penjelasan yang lebih jelas dan telus mengenai mekanisme pengambilan pelajar ke universiti awam.

“Sama ada Kementerian Pengajian Tinggi tidak boleh menjawab atau tidak mahu menjawab, saya akan terus berdiri bersama rakyat dan terus mengemukakan persoalan ini di Parlimen sehingga mendapat jawapan yang jelas!,” tambah beliau. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author