Connect with us

Terkini

Mukhriz kecam ‘Board of Peace’ Trump, Gesa Malaysia tolak dengan tegas

Published

on

Foto: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Mukhriz Mahathir.
  • Malaysia perlu membuat pendirian tegas dan menolak mentah-mentah untuk sertai Lembaga Keamanan, kata Presiden PEJUANG, Mukhriz Mahathir.
  • “Saya rasa, kita tidak mendengar ungkapan penolakan serta penafian yang cukup untuk tidak sertai Lembaga Keamanan ini,”
  • Beliau berkata, adalah tidak munasabah apabila pihak yang didakwanya sebagai dalang peperangan kemudiannya mendakwa kononnya mereka akan membawa keamanan ke Palestin.

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu membuat pendirian tegas dan menolak mentah-mentah untuk tidak sertai ‘Board of Peace’ atau Lembaga Keamanan, kata Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Mukhriz Mahathir.

Beliau menyifatkan Lembaga Keamanan yang dianjurkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai satu ketidakadilan yang nyata.

“Saya rasa Malaysia perlu membuat pendirian dan menolaknya mentah-mentah. Ia merupakan satu ketidakadilan yang nyata.

“Saya rasa, kita tidak mendengar ungkapan penolakan serta penafian yang cukup untuk tidak sertai Lembaga Keamanan ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan selepas berbuka puasa bersama Friends of Palestine (FOP).

Mukhriz menyifatkan cadangan penubuhan Lembaga Keamanan sebagai sesuatu idea melampau serta tidak wajar diterima oleh mana-mana pihak kerana menurutnya idea tersebut menimbulkan persoalan besar dari segi keikhlasan dan matlamat sebenar pelaksanaannya.

Beliau berkata, adalah tidak munasabah apabila pihak yang didakwanya sebagai dalang peperangan kemudiannya mendakwa kononnya mereka akan membawa keamanan ke Palestin.

Justeru, beliau menegaskan cadangan berkenaan perlu ditolak dan tidak harus diberi sebarang legitimasi oleh mana-mana pihak.

“Ia adalah idea yang melampau, daripada orang-orang merupakan dalang peperangan, dan kemudian menyatakan bahawa mereka yang akan membawa keamanan kepada kawasan tersebut (Palestin).

“Jadi, saya rasa itu (Lembaga Keamanan)  sesuatu yang kita mesti menolak sama ada di tahap kerajaan atau bahkan di tahap badan bukan kerajaan (NGO),” tegasnya.

Dalam pada itu, Mukhirz turut menyuarakan berkenaan isu Masjid Al-Aqsa yang tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia berkait rapat dengan kedaulatan serta kedudukan tempat suci umat Islam.

“Saya akan berusaha untuk melindungi Masjid Al-Aqsa daripada pencerobohan yang kami lihat di media baru-baru ini. 

“Sangat penting kita tidak terlepas pandangan bahawa Masjid Al-Aqsa merupakan tempat yang paling suci bagi Muslim,” jelasnya.

Beliau menambah tindakan golongan rejim Zionis ketika ini merupakan satu pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya melibatkan kedudukan dan kedaulatan Masjid Al-Aqsa.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat antarabangsa tidak terlepas pandang tentang kepentingan dan kesucian Masjid Al-Aqsa kepada umat Islam. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author