Terkini
Isu pijak Quran: Siasat serta-merta, dakwa dengan hukuman paling berat – Ketua Pemuda PAS Selangor
- Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar menuntut tindakan yang keras dan tidak berkompromi daripada pihak berkuasa susulan tindakan seorang pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa memijak al-Quran.
- Beliau menegaskan, perbuatan tersebut bukan salah laku kecil, sebaliknya satu provokasi melampau yang mencabar keharmonian masyarakat serta menguji ketegasan undang-undang negara.
- Justeru itu, beliau menyeru semua Ahli Parlimen Islam tanpa mengira parti agar bersatu menyokong sebarang usaha memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap kesucian Islam.
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar menuntut tindakan keras dan tidak berkompromi daripada pihak berkuasa susulan tindakan seorang pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa memijak al-Quran.
Beliau menegaskan, perbuatan tersebut bukan salah laku kecil, sebaliknya satu provokasi melampau yang mencabar keharmonian masyarakat serta menguji ketegasan undang-undang negara.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah yang memijak al-Quran. Ini bukan salah laku kecil. Ini adalah penghinaan terbuka terhadap kitab suci umat Islam yang wajib dipandang serius oleh negara.
“Al-Quran ialah kalam Allah yang dimuliakan oleh lebih 60 peratus rakyat Malaysia yang beragama Islam. Ia bukan sekadar teks, tetapi asas akidah, syariat dan peradaban. Tindakan memijaknya adalah satu provokasi melampau yang mencabar keharmonian serta menguji ketegasan undang-undang negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, Malaysia bukan negara yang membenarkan budaya ekstrem atas nama kebebasan tanpa batas dan insiden seperti itu tidak boleh dipandang ringan.
“Jika insiden seperti ini tidak ditangani dengan hukuman yang benar-benar tegas, ia akan menjadi precedent berbahaya dan membuka ruang kepada penghinaan agama yang lebih besar pada masa akan datang.
“Saya menuntut tindakan yang keras dan tidak berkompromi dari pihak berkuasa,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau menggariskan tiga tindakan segera yang menurutnya mesti dilaksanakan, iaitu siasatan serta-merta dan pendakwaan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan penghinaan agama dan ketenteraman awam dengan hukuman paling berat yang boleh dijatuhkan.
“Selain itu, beliau turut menuntut penamatan serta-merta pelajar terbabit daripada pengajian di universiti berkenaan serta tidak dibenarkan memasuki mana-mana universiti awam.
“Tindakan lain, hukuman kerja kemasyarakatan berat dan berpanjangan di bawah pemantauan rasmi, termasuk khidmat wajib di institusi kebajikan serta program pemulihan sahsiah yang ketat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan undang-undang sedia ada mungkin tidak lagi memadai untuk menangani penghinaan terbuka terhadap Islam yang semakin berani dan provokatif.
“Kerajaan Persekutuan mesti mempertimbangkan penggubalan rang undang-undang yang lebih tegas dan khusus terhadap penghinaan agama Islam, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Undang-undang tersebut perlu memperincikan bentuk kesalahan, memperkemas takrif penghinaan serta memperuntukkan hukuman yang lebih berat dan jelas sebagai pencegahan,” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua Ahli Parlimen Islam tanpa mengira parti agar bersatu menyokong sebarang usaha memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap kesucian Islam.
“Dalam isu maruah agama, tidak sepatutnya ada politik kepartian. Ini soal prinsip, soal akidah dan soal ketenteraman negara.
“Ketegasan negara dalam isu ini akan menjadi garis pemisah yang jelas bahawa kesucian al-Quran tidak boleh dipijak dan agama tidak boleh dijadikan bahan provokasi,” ujarnya. – The Merdeka Times