Terkini
Isu kuil dibina atas tanah orang lain, beri gambaran buruk kepada agama Hindu
- Seorang guru rohani yang hanya mahu dikenali sebagai Saii berkata, isu berkenaan bukanlah berpunca daripada sentimen anti-agama atau penolakan terhadap pembinaan rumah anutan, sebaliknya berkait rapat dengan soal pematuhan undang-undang dan hak pemilikan tanah.
- “Dalam waktu sama juga, benda ini bukan hanya memberi tamparan kepada masyarakat India sahaja, malah kepada tuhan orang masyarakat Hindu, dia memberi satu pandangan yang tidak sewajarnya kepada tuhan mereka. Kalau nak bina kuil dan sebagainya, beli tanah,” katanya.
- Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa tindakan tegas terhadap pembinaan rumah anutan tanpa kebenaran juga dilaksanakan di negara lain, termasuk di India
KUALA LUMPUR – Tindakan membina kuil tanpa kebenaran di atas tanah milik pihak lain bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat setempat, malah didakwa memberi gambaran yang buruk terhadap agama Hindu itu sendiri.
Seorang guru rohani yang hanya mahu dikenali sebagai Saii berkata, isu berkenaan bukanlah berpunca daripada sentimen anti-agama atau penolakan terhadap pembinaan rumah anutan, sebaliknya berkait rapat dengan soal pematuhan undang-undang dan hak pemilikan tanah.
“Saya datang untuk melihat keadaan di sini seperti mana yang berlaku, saya datang untuk melihat keadaan apa perasaan masyarakat bila mereka dapat tahu di tanah mereka ini didirikan pembinaan yang dibuat tanpa izin.
“Dalam waktu yang sama juga, benda ini bukan hanya memberi tamparan kepada masyarakat India sahaja, malah kepada tuhan masyarakat Hindu, dia memberi satu pandangan yang tidak sewajarnya kepada tuhan mereka. Kalau nak bina kuil dan sebagainya, beli tanah,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan.
Menurut beliau, hasil pertemuan dengan penduduk setempat mendapati majoriti tidak mempunyai masalah terhadap pembinaan kuil, selagi ia dilaksanakan mengikut peraturan dan tidak menceroboh hak pihak lain.
“Saya tengok keadaan masyarakat dekat sini, apabila saya datang, bila bertanya, berjumpa dengan ramai orang, saya dapati ramai orang sebenarnya berpandangan mereka tidak ada masalah untuk orang-orang ini membina kuil. Ia bukannya isu sebab mereka tak mahu orang bina kuil. Tetapi isunya adalah orang yang bina kuil di tanah orang lain.
“Kalau kita lihat yang ni, sebenarnya benda itu yang menjadikan satu penghinaan apabila mereka menggunakan tanah orang dan kemudian membina kuil di tanah orang dan sekaligus memberi satu gambaran yang buruk kepada agama Hindu itu sendiri ataupun tuhan dalam agama Hindu,” ujarnya.
Tambah Saii, penggunaan alasan kekurangan dana selepas mendirikan struktur tanpa izin juga menimbulkan persoalan tentang keadilan.
“Kenapa kamu buat semua benda ini atas nama tuhan? Apabila orang datang, persoalkan benda ini dan kamu beritahu saya belum ada cukup duit dan sebagainya, perlukan tempat dan sebagainya.
“Jadi mana adil dalam benda ini? Mana adil begitu? Sebab awak dah ambil tanah orang. Lepas itu awak nak keluar, boleh pula awak kata tak ada duit,” tegasnya.
Beliau turut mengulas pandangan segelintir masyarakat Hindu yang merasakan komuniti mereka sering menjadi sasaran dalam isu sedemikian.
“Pandangan terhadap masyarakat Hindu pula. Orang Hindu merasakan, kenapa masyarakat semua asyik sasarkan terhadap orang Hindu saja? Kenapa? Mungkin mereka rasa kenapa hanya sasar kuil saja dan sebagainya.
“Tapi apabila saya datang, sebenarnya ia bukan isu pasal orang sasar kuil dan sebagainya, tetapi sasarannya adalah sebab kamu bina di tempat orang. Itu yang menjadi isu,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa tindakan tegas terhadap pembinaan rumah anutan tanpa kebenaran juga dilaksanakan di negara lain, termasuk di India.
“Di India pun, kalau kamu buat kuil tak ikut perundangan, hatta kerajaan India sendiri pun akan mengambil tindakan. Jadi, masyarakat Hindu dia perlu faham perkara ini.
“Kepada orang-orang yang datang buat kuil di tempat orang secara haram, kamu perlu lihat tempat tersebut, situasi, status tanah sebelum kamu buat.
“Bila ia jadi macam ini, bukan hanya memberi satu perasaan yang tidak bagus kepada masyarakat Islam, tetapi ia juga memberi satu perasaan yang tidak bagus kepada orang Hindu juga,” ujarnya. – The Merdeka Times