Terkini
Turkiye didakwa ‘Talibanisasi’ hanya kerana program Ramadan di sekolah
- Kerajaan Turkiye dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan mengecam satu deklarasi yang ditandatangani 168 individu termasuk penulis dan selebriti, yang mendakwa prinsip sekularisme (laiklik) di negara itu sedang terancam susulan penganjuran program sambutan Ramadan di sekolah.
- Deklarasi berkenaan mendakwa Turkiye sedang menuju ke arah “Talibanisasi” selepas Kementerian Pendidikan Nasional memperkenalkan inisiatif menghias bilik darjah dengan elemen berkaitan Ramadan serta menganjurkan aktiviti kesedaran sempena bulan suci umat Islam itu.
ANKARA – Kerajaan Turkiye dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan mengecam satu deklarasi yang ditandatangani 168 individu termasuk penulis dan selebriti, yang mendakwa prinsip sekularisme (laiklik) di negara itu sedang terancam susulan penganjuran program sambutan Ramadan di sekolah.
Deklarasi berkenaan mendakwa Turkiye sedang menuju ke arah “Talibanisasi” selepas Kementerian Pendidikan Nasional memperkenalkan inisiatif menghias bilik darjah dengan elemen berkaitan Ramadan serta menganjurkan aktiviti kesedaran sempena bulan suci umat Islam itu.
Menteri Pendidikan, Yusuf Tekin, menolak dakwaan tersebut dan menyifatkan kumpulan di sebalik deklarasi itu sebagai “reaksi minoriti”.
Beliau berkata kritikan terhadap program Ramadan tidak mempunyai asas saintifik atau akademik dan lebih bersifat prejudis.
Menurut Tekin, konsep laiklik perlu difahami sebagai sistem politik yang menjamin kebebasan beragama, bukannya menekan amalan agama.
Beliau menegaskan bahawa program di sekolah bertujuan memupuk nilai kebersamaan, perkongsian dan kasih sayang dalam kalangan pelajar, khususnya dalam negara majoriti Muslim seperti Turkiye.
Isu sekularisme di Turkiye sering menjadi perdebatan sejak kejatuhan Empayar Uthmaniyyah dan pemansuhan institusi khalifah, apabila negara itu memilih pendekatan memisahkan agama daripada pentadbiran negara.
Namun, kerajaan Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Party) yang memerintah sering dituduh pihak tertentu membawa agenda Islamisasi dalam dasar awam.
Program Ramadan di sekolah itu turut mendapat sokongan beberapa NGO pendidikan, yang menyatakan bahawa inisiatif tersebut selari dengan nilai budaya dan tradisi masyarakat Turkiye, serta tidak bercanggah dengan prinsip sekularisme seperti yang didakwa.
Presiden Parti Pergerakan Nasionalis (MHP), Devlet Bahçeli, yang merupakan sekutu kerajaan, turut mempertahankan langkah kementerian. Beliau menyifatkan Ramadan sebagai simbol solidariti dan nilai spiritual yang wajar diperkenalkan kepada generasi muda, sambil mempersoalkan dakwaan bahawa program tersebut mencerminkan unsur “Talibanisasi”.
Bahçeli dalam kenyataannya turut mengkritik keras pihak yang menandatangani deklarasi berkenaan, dengan mendakwa mereka terpisah daripada akar budaya sendiri.
Beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh nilai kebangsaan dan spiritual tidak bercanggah dengan prinsip laiklik, sebaliknya mencerminkan identiti sosial Turkiye yang sebenar.-The Merdeka Times