Terkini
Isu Azam Baki kegagalan sistemik, Anwar Ibrahim perlu dipersoal – Rafique
- Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata isu tersebut bukan sekadar melibatkan individu semata-mata, sebaliknya menggambarkan kelemahan struktur pentadbiran negara.
- Mengulas perkembangan terkini, Rafique berkata, kenyataan Azam Baki bahawa beliau bukan penjenayah dan tidak akan melepaskan jawatan kerana mendakwa tiada salah laku, menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.
- Rafique turut mempersoalkan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menurutnya dibuat atas nasihat Perdana Menteri sebagaimana diperuntukkan undang-undang.
KUALA LUMPUR – Isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terus mencetuskan polemik apabila disifatkan sebagai satu kegagalan sistemik yang turut mengheret kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata isu tersebut bukan sekadar melibatkan individu semata-mata, sebaliknya menggambarkan kelemahan struktur pentadbiran negara.
“Ia bukan sahaja mengenai Azam Baki tapi PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Masalah kita di Malaysia adalah kita hendak jaga hati. Kita tidak mahu terus-terang. Kita tidak mahu belajar dari sejarah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, situasi berkenaan mengingatkan kepada kontroversi membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sebelum ini dilabelkan oleh United States Department of Justice (DOJ) sebagai skandal kewangan terbesar abad ini.
Katanya, ketika isu 1MDB memuncak, pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan SPRM didakwa memberi tekanan kepada pengkritik kerajaan ketika itu.
“Yang dalam kerajaan pula kata 1MDB isu politik. Hanya mahu jatuhkan kerajaan. Semua itu rancangan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
Tambah beliau, akhirnya Barisan Nasional (BN) tumbang susulan gelombang rakyat yang menolak kepimpinan ketika itu.
Mengulas perkembangan terkini, Rafique berkata, kenyataan Azam Baki bahawa beliau bukan penjenayah dan tidak akan melepaskan jawatan kerana mendakwa tiada salah laku, menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat.
Malah, katanya, laporan oleh Bloomberg yang mendakwa wujud kaitan antara SPRM dan “corporate mafia” menambahkan lagi kebimbangan terhadap integriti institusi tersebut.
“Bukan itu sahaja, lebih dari itu ada pula kaitan dengan Farhash Wafa Salvadore dan syarikat-syarikat yang dapat kontrak dari kerajaan. Ada yang juta ada yang bilion,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan tindakan PDRM yang membuka siasatan fitnah jenayah terhadap Bloomberg walaupun agensi media antarabangsa itu mempertahankan laporan berkenaan sebagai benar.
Rafique juga mempersoalkan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menurutnya dibuat atas nasihat Perdana Menteri sebagaimana diperuntukkan undang-undang.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik, ditamatkan, dilanjutkan ke jawatan itu atas nasihat Perdana Menteri.
“Itu undang-undang dan fakta. Siapa Perdana Menteri sekarang? PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau turut mempertikaikan kewibawaan panel bebas yang didakwa dianggotai tiga individu yang pelantikan atau pelanjutan jawatan mereka juga dibuat atas nasihat Perdana Menteri.
Mengulas perhimpunan orang ramai di Sogo pada 15 Februari lalu, Rafique mendakwa ia membuktikan wujud desakan agar Azam meletakkan jawatan.
“Azam Baki diminta undur. Tapi Azam Baki dilindungi PMX. Tanpa PMX tiada Azam Baki. Yang dulu disuruh tangkap sekarang dipertahan.
“Anwar Ibrahim berkata kita tidak serius lawan rasuah atau tiada suara bila mahakaya curi bilion. Penyokong Anwar pula kata ini bukti Mahathir dan kroni-kroni sudah takut.
“Tapi mahakaya mana yang telah ditahan setakat ini? Yang rakyat lihat mereka yang tidak sokong Anwar sebagai PM yang ditahan disiasat atau diugut siasat,” tegasnya.
Beliau turut menyentuh kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang menyaksikan 47 pertuduhan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) sebelum ini.
“Dari PM7 ke PM9 kes Zahid Hamidi terus berjalan. Sampai giliran PM10, DNAA lepas itu NFA lepas ini lepas?
“Akhirnya kita perlu sedar. Kita perlu terus terang. Kita kena bersetuju Anwar adalah masalahnya,” ujarnya. – The Merdeka Times