Terkini
Insiden kuil Rawang: Naratif salah dan Istilah ‘vigilante’ boleh gugat keharmonian
- Ketua GARAH yang juga peguam, Haniff Khatri berkata, kerajaan wajib mengeluarkan naratif yang tepat dan berasaskan fakta kerana kesilapan istilah boleh membentuk persepsi awam bahawa insiden tersebut berpunca daripada sentimen perkauman atau hasutan agama.
- Menurut beliau, penggunaan perkataan ‘vigilante’ oleh Perdana Menteri adalah tidak wajar kerana istilah itu membawa maksud mengambil undang-undang di tangan sendiri secara salah.
- “Adakah mereka bertindak sesuka hati? Adakah mereka berada di situ kerana kegilaan peribadi? Tidak. Tindakan tersebut berlaku atas permintaan pemilik tanah,” katanya dalam sidang media.
KUALA LUMPUR – Penggunaan istilah ‘vigilante’ dalam menggambarkan insiden di Rawang disifatkan sebagai naratif yang salah dan berpotensi menggugat keharmonian agama dan perkauman serta mencetuskan salah faham dalam kalangan rakyat.
Ketua GARAH yang juga peguam, Haniff Khatri berkata, kerajaan wajib mengeluarkan naratif yang tepat dan berasaskan fakta kerana kesilapan istilah boleh membentuk persepsi awam bahawa insiden tersebut berpunca daripada sentimen perkauman atau hasutan agama.
Menurut beliau, penggunaan perkataan ‘vigilante’ oleh Perdana Menteri adalah tidak wajar kerana istilah itu membawa maksud mengambil undang-undang di tangan sendiri secara salah.
“Adakah mereka bertindak sesuka hati? Adakah mereka berada di situ kerana kegilaan peribadi? Tidak. Tindakan tersebut berlaku atas permintaan pemilik tanah,” katanya dalam sidang media.
Haniff menegaskan bahawa isu sebenar adalah berkaitan hak pemilikan tanah dan penguatkuasaan undang-undang, bukannya isu kaum atau agama.
“Ia bukan isu vigilante. Ia isu hak pemilikan dan kedaulatan undang-undang. Kerajaan mesti betulkan naratif supaya rakyat tidak terus tersalah faham,” katanya.
Haniff turut menegur kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyifatkan kejadian di Rawang mencetuskan kegusaran rakyat dan berpotensi menggugat keharmonian negeri.
Menurut beliau, kegusaran timbul akibat naratif yang salah, bukan semata-mata kerana kejadian tersebut.
Beliau berkata, apabila kerajaan menggunakan istilah yang tidak tepat, rakyat akan terkeliru dan menganggap wujud empat individu yang bertindak melampaui undang-undang atas dorongan ekstrem, sedangkan hakikatnya pertikaian adalah antara penceroboh yang menduduki tanah dengan tuan tanah yang sah.
Dalam perkembangan sama, Haniff memaklumkan bahawa GARAH sejak 31 Januari lalu telah mencadangkan penubuhan jawatankuasa pusat bagi menangani isu rumah anutan yang didirikan tanpa kebenaran.
Cadangan itu, katanya, telah disambut baik Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau menjelaskan, antara langkah dicadangkan termasuk membanci semua rumah anutan tanpa mengira agama, meneliti status tanah serta membentangkan kertas kajian di Parlimen bagi memastikan penyelesaian menyeluruh dan telus.
Namun, Haniff menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan jawatankuasa berkenaan disebabkan
Beliau juga membangkitkan isu penggunaan frasa “rumah ibadah” dalam kenyataan rasmi yang didakwa bercanggah dengan Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Selangor berkaitan penggunaan istilah tertentu.
“Kerajaan perlu mengikut laras perlembagaan dan undang-undang, termasuk dalam penggunaan bahasa. Jangan kelirukan rakyat,” katanya. – The Merdeka Times