Terkini
Tiada rakyat Malaysia yang waras mahu kembali era UMNO kuasa dominan
- Bekas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, hakikat itu perlu disedari oleh para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) sambil menegaskan bahawa ‘zaman sudah berubah’.
- “Bagaimanapun, ada pihak tertentu yang masih mempunyai impian untuk mengembalikan zaman kegemilangan UMNO sebagai satu kuasa politik yang dominan,” katanya dalam satu kenyataan.
- Beliau meramalkan bahawa dalam lanskap politik hari ini, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-16 bakal menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai dua gabungan besar manakala BN pula semakin hilang popularitinya.
KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia yang waras mahu kembali kepada era sistem satu parti dengan UMNO sebagai kuasa dominan yang menentukan segala-galanya untuk rakyat.
Bekas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, hakikat itu perlu disedari oleh para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) sambil menegaskan bahawa ‘zaman sudah berubah’.
Beliau berkata, sejarah telah membuktikan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 telah menamatkan era sistem sedemikian yang sekian lama mendominasi lanskap politik negara.
“Bagaimanapun, ada pihak tertentu yang masih mempunyai impian untuk mengembalikan zaman kegemilangan UMNO sebagai satu kuasa politik yang dominan,” katanya dalam satu kenyataan.
Media melaporkan, BN Johor bertekad tanding solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum pandangan, suara serta harapan rakyat Johor selain kepimpinan akar umbi UMNO-BN Johor berhubung hala tuju parti menjelang PRN.
Mengulas lanjut, jelas Chin Tong yang juga Pengarah Strategik DAP berkata, realiti politik hari ini menunjukkan sudah tidak ada lagi satu parti yang boleh mendominasi Malaysia.
Sebaliknya, beliau menambah, semua parti perlu belajar bekerjasama dan bertolak ansur untuk bertanding serta membentuk sebuah kerajaan.
Beliau meramalkan bahawa dalam lanskap politik hari ini, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-16 bakal menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai dua gabungan besar manakala BN pula semakin hilang popularitinya.
“Sementara kita mengakui BN mempunyai kelebihan dalam PRN Johor, faktanya ialah kemenangan di peringkat negeri tidak semestinya menjamin kejayaan pada PRU akan datang.
“Buktinya dapat dilihat dalam keputusan PRU 2022. Daripada 26 kerusi Parlimen Johor, BN hanya memenangi 9 kerusi berbanding PH yang mendapat 15 kerusi,” katanya. – The Merdeka Times