Terkini
Israel guna bom suhu 3,000°C ‘lenyapkan’ 2,842 rakyat Palestin tanpa jasad
- Siasatan terbaharu oleh Al Jazeera Arabic mendakwa penggunaan senjata berkuasa haba tinggi oleh Israel di Gaza telah menyebabkan ribuan rakyat Palestin “lenyap tanpa sisa”, dengan hanya kesan percikan darah atau cebisan kecil tisu ditemui di lokasi serangan.
- Laporan itu menyatakan bahan letupan seperti tritonal campuran TNT dan serbuk aluminium mampu menghasilkan haba ekstrem sehingga membakar dan memusnahkan tisu manusia dalam sekelip mata.
GAZA – Satu siasatan terbaharu oleh Al Jazeera Arabic mendakwa penggunaan senjata berkuasa haba tinggi oleh Israel di Gaza telah menyebabkan ribuan rakyat Palestin “lenyap tanpa sisa”, dengan hanya kesan percikan darah atau cebisan kecil tisu ditemui di lokasi serangan.
Pada 10 Ogos 2024, Yasmin Mahani meredah runtuhan Sekolah al-Tabin di Gaza City bagi mencari anaknya, Saad. Beliau menemui suaminya dalam keadaan menjerit kesedihan, namun tiada sebarang jejak anak mereka ditemui.
“Kami tidak temui apa-apa, hatta jasad untuk dikebumikan,” katanya kepada Al Jazeera dalam laporan khas bertajuk The Rest of the Story.
Menurut laporan itu, sejak perang bermula pada Oktober 2023, pasukan Pertahanan Awam Gaza telah merekodkan 2,842 rakyat Palestin yang dikategorikan sebagai “tersejat”, iaitu hilang tanpa sisa jasad selepas serangan udara.
Angka ini bukan anggaran, tetapi hasil dokumentasi forensik di lokasi letupan.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, menjelaskan bahawa pasukan penyelamat menggunakan kaedah pengesahan silang jumlah penghuni rumah yang disasarkan dengan jumlah mayat yang ditemui.
Jika terdapat perbezaan selepas pencarian menyeluruh dan hanya kesan biologi seperti darah atau serpihan kecil ditemui, mangsa akan direkodkan sebagai “tersejat”.
Siasatan tersebut mengaitkan fenomena ini dengan penggunaan senjata termobarik dan bahan letupan berasaskan campuran kimia tertentu yang mampu menghasilkan suhu melebihi 3,000 darjah Celsius.
Pakar ketenteraan Rusia, Vasily Fatigarov, menjelaskan bahawa senjata termobarik menyebarkan awan bahan api yang meletup dan menghasilkan bebola api serta kesan vakum, memusnahkan segala-galanya dalam ruang tertutup.
Antara munisi yang dikenal pasti termasuk bom MK-84 seberat 900 kilogram, bom penembus kubu BLU-109, serta bom luncur GBU-39 yang digunakan dalam serangan ke atas Sekolah al-Tabin.
Laporan itu menyatakan bahan letupan seperti tritonal campuran TNT dan serbuk aluminium mampu menghasilkan haba ekstrem sehingga membakar dan memusnahkan tisu manusia dalam sekelip mata.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, Dr Munir al-Bursh, menjelaskan bahawa tubuh manusia yang terdiri daripada kira-kira 80 peratus air tidak mampu menahan pendedahan kepada suhu melebihi 3,000 darjah Celsius.
Cecair dalam badan akan mendidih serta-merta, menyebabkan tisu mengewap dan bertukar menjadi abu akibat tekanan dan pengoksidaan tinggi.
Pakar undang-undang antarabangsa turut mempersoalkan implikasi penggunaan senjata yang tidak membezakan antara orang awam dan kombatan.
Mereka berhujah bahawa pembekalan berterusan senjata oleh kuasa Barat menimbulkan isu liabiliti bersama di bawah undang-undang antarabangsa, sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan langkah serta waran berkaitan kepimpinan Israel.-The Merdeka Times