Terkini
Isu Greenland isyarat bahaya kepada negara kecil termasuk Malaysia – Pakar
- Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, isu melibatkan Amerika Syarikat dan Greenland menunjukkan bagaimana retorik keselamatan boleh menguji kedaulatan negara serta mencabar prinsip antarabangsa yang selama ini melindungi negara kecil termasuk Malaysia dan rakan-rakan ASEAN.
- “Sekiranya ancaman atau idea aneksasi dibiar menjadi rutin, ia menghakis kepercayaan dalam pakatan pertahanan serta ‘rules-based order’ yang selama ini menjadi pelindung tidak langsung kepada negara kecil,” katanya.
KUALA LUMPUR – Negara-negara kecil termasuk Malaysia berdepan risiko lebih besar daripada segi ekonomi, ketenteraan dan diplomatik sekiranya kuasa besar menggunakan alasan “kepentingan strategik” untuk mengubah sempadan atau status wilayah sesebuah negara.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, isu melibatkan Amerika Syarikat dan Greenland menunjukkan bagaimana retorik keselamatan boleh menguji kedaulatan negara serta mencabar prinsip antarabangsa yang selama ini melindungi negara kecil termasuk Malaysia dan rakan-rakan ASEAN.
“Sekiranya ancaman atau idea aneksasi dibiar menjadi rutin, ia menghakis kepercayaan dalam pakatan pertahanan serta ‘rules-based order’ yang selama ini menjadi pelindung tidak langsung kepada negara kecil,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebelum ini dilapor mempertimbangkan pilihan untuk menguasai Greenland, dengan White House menyatakan bahawa penggunaan kekuatan ketenteraan sentiasa menjadi satu pilihan demi kepentingan keselamatan AS.
Walaupun Greenland dan Denmark telah berulang kali menyatakan penolakan, pegawai kanan White House menyifatkan tuntutan ke atas pulau Artik itu sebagai pendirian rasmi kerajaan AS, sambil menolak kemungkinan berlakunya konflik ketenteraan, menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa).
Timbalan Ketua Kakitangan Presiden AS, Stephen Miller, pula menyatakan bahawa tiada pihak akan menentang Amerika Syarikat secara ketenteraan berhubung masa depan Greenland, sambil berhujah bahawa pulau itu perlu dikuasai AS bagi menjamin keselamatan rantau Artik dan kepentingan NATO.
Mengulas lanjut, Awang Azman menjelaskan bahawa kawasan Artik kini semakin strategik dari segi laluan maritim baharu, sumber mineral dan kedudukan ketenteraan.
“Namun, ancaman keselamatan tidak boleh dijadikan ‘lesen terbuka’ untuk penaklukan. Justifikasi keselamatan lazimnya terpakai dalam rangka pertahanan diri (self-defence) apabila wujud serangan bersenjata yang nyata atau mandat kolektif yang sah di bawah mekanisme antarabangsa tertentu,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, menegaskan bahawa kuasa besar tidak seharusnya bertindak secara unilateral, sebaliknya perlu menggunakan pendekatan multilateral atau bilateral bagi mengelakkan tercetusnya era Perang Dingin baharu yang boleh menjejaskan negara-negara ketiga.
Beliau berkata, tindakan unilateral yang keterlaluan berpotensi menjadi preseden berbahaya terhadap kedaulatan sesebuah negara, justeru prinsip Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) perlu terus diperkukuh agar ASEAN kekal berkecuali, bergerak sebagai satu blok bersatu dan mampu mempertahankan kedaulatan rantau ini daripada tekanan kuasa besar.
“Perkembangan ini memberi kesedaran penting terhadap keselamatan global, khususnya kepada negara-negara ASEAN, untuk bergerak sebagai satu blok yang bersatu,” katanya sambil menambah bahawa pendekatan kolektif sebagai satu pakatan serantau amat penting bagi memastikan kedaulatan ASEAN dalam semua aspek terus terpelihara.-The Merdeka Times