Terkini
(VIDEO) Pelajar Muslim dipaksa minta maaf depan patung berhala kerana solat di kolej
- Pelajar Muslim itu dipaksa untuk meminta maaf dan menyentuh kaki patung Shivaji Maharaj oleh sekumpulan militan Hindu, Vishwa Hindu Parishad (VHP) dan Bajrang Dal yang masuk ke kawasan kolej.
- Video yang tular di media sosial di negara itu menunjukkan pelajar-pelajar tersebut berdiri di hadapan patung sambil memegang telinga mereka dan berjanji untuk tidak terlibat dalam sebarang amalan agama di tempat awam.
MUMBAI: Satu notis undang-undang telah dihantar kepada Ideal College, Kalyan, India membabitkan insiden tiga pelajar farmasi Muslim yang dipaksa meminta maaf kerana solat di dalam bilik darjah kosong.
Pelajar Muslim itu dilaporkan dipaksa untuk meminta maaf dan menyentuh kaki patung Shivaji Maharaj oleh sekumpulan militan Hindu, Vishwa Hindu Parishad (VHP) dan Bajrang Dal yang masuk ke kawasan kolej.
Menurut Hindustan Times, notis yang difailkan peguam, Faiyaz Shaikh menuntut siasatan terhadap identiti mereka yang memaksa permohonan maaf itu dan bagaimana orang luar boleh masuk ke kolej tersebut.
Video yang tular di media sosial di negara itu menunjukkan pelajar-pelajar tersebut berdiri di hadapan patung sambil memegang telinga mereka dan berjanji untuk tidak terlibat dalam sebarang amalan agama di tempat awam.
Kumpulan tersebut kemudian melaungkan slogan “Jai Shri Ram”.
Pihak pengurusan memberitahu kumpulan itu bahawa tiada aktiviti agama yang dibenarkan di dalam kolej, tetapi menambah bahawa pelajar-pelajar itu tidak berniat untuk berbuat jahat dan mereka telah meminta maaf kepada pihak pengurusan juga.
Anggota Bajrang Dal dan VHP kemudian dilaporkan mendesak pihak pengurusan untuk mengambil tindakan terhadap pelajar-pelajar tersebut.
Polis juga tiba di kolej, tetapi tiada aduan diterima oleh mereka, dengan alasan tindakan disiplin hanya boleh diambil oleh pihak berkuasa kolej.
Justeru, notis undang-undang itu menuntut jaminan bahawa pelajar-pelajar itu tidak akan dikenakan penghinaan seperti itu lagi.
Ia juga meminta jaminan bertulis bahawa langkah keselamatan akan dilaksanakan untuk mencegah insiden seperti itu dan menuntut supaya semua rakaman CCTV disimpan untuk sebarang siasatan.
Ia juga meminta penerbitan satu pekeliling yang menjamin neutraliti agama di kampus.
Kegagalan untuk mematuhi tuntutan ini, menurut notis tersebut, akan menyebabkan tindakan undang-undang. – The Merdeka Times