Antarabangsa
Penghidap kanser Palestin meninggal dunia dalam tahanan rejim Israel
Seorang warga Palestin penghidap kanser meninggal dunia dalam tahanan rejim Israel semalam walaupun sepatutnya sudah lama dibebaskannya,
- Nasser Abu Hmaid, 50, meninggal dunia ketika masih dalam tahanan Israel pada pagi Selasa di hospital Assaf Harofeh Israel dekat Tel Aviv.
- Nasser disahkan menghidap kanser paru-paru tahap akhir pada Ogos 2021 selepas pihak berkuasa Israel menangguhkan pemeriksaan dan rawatan perubatan.
- Pihak hospital mengesyorkan Nasser dibebaskan segera kerana dia sudah tiada harapan sembuh dan sedang ‘menunggu hari terakhirnya’, namun dia dihantar semula ke klinik penjara Ramla dan terus dipenjarakan.
- Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata dalam satu kenyataan bahawa Nasser “mati syahid akibat dasar kecuaian perubatan yang disengajakan”.
Seorang warga Palestin penghidap kanser meninggal dunia dalam tahanan rejim Israel semalam walaupun sepatutnya sudah lama dibebaskannya,
Memetik laporan Aljazeera, dia juga turut lewat didiagnosis menghidap penyakit itu akibat kecuaian perubatan Israel.
Pihak berkuasa Palestin memaklumkan Nasser Abu Hmaid, 50, meninggal dunia pada pagi Selasa di hospital Assaf Harofeh Israel dekat Tel Aviv.
Dia dipindahkan dari klinik penjara Ramla ke hospital secara mengejut pada petang Isnin selepas kesihatannya dilaporkan merosot dan mengalami koma.
Susulan insiden itu, mogok umum bermula pagi semalam dengan kedai, sekolah dan perniagaan ditutup di seluruh Tebing Barat sebagai tanda berkabung atas kematian Abu Hmaid, termasuk di Ramallah, Hebron, Nablus dan Jenin.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata dalam satu kenyataan bahawa Nasser “mati syahid akibat dasar kecuaian perubatan yang disengajakan”.
Terdahulu, Nasser disahkan menghidap kanser paru-paru tahap akhir pada Ogos 2021 selepas pihak berkuasa Israel menangguhkan pemeriksaan dan rawatan perubatan, demikian menurut kumpulan hak banduan Palestin.
Sejak itu, keluarganya, kumpulan banduan dan pegawai melancarkan kempen menyeru Israel membebaskannya dan memberi amaran bahawa dia sedang “mati perlahan-lahan”akibat kecuaian perubatan.
Keluarganya berulang kali berkata mereka mahu Nasser menghembuskan nafas terakhirnya di sisi mereka.
Menurut laporan perubatan dari hospital Assaf pada September lalu selepas beberapa bulan Nasser menjalani kemoterapi, tiada apa lagi yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya.
Pihak hospital mengesyorkan agar Nasser dibebaskan dengan segera kerana dia sedang “dalam hari-hari terakhirnya”.
Bagaimanapun dia dihantar semula ke klinik penjara Ramla dan terus dipenjarakan.
Sehingga kini, jenazahnya masih belum diserahkan kepada pegawai Palestin.
Sumber: Aljazeera