Connect with us

Antarabangsa

“Tiada wang, bayi besar”: Lima hospital tolak rawatan sebelum ibu hamil maut

Published

on

Foto: Mangsa, Irene Sokoy
  • Seorang wanita hamil dari Kampung Hobong, Distrik Sentani di Wilayah Papua meninggal dunia bersama bayi dalam kandungan selepas didakwa tidak menerima rawatan daripada lima hospital ketika dalam proses bersalin, lapor portal Kompas.
  • Gabenor Papua, Mathius Fakhiri menyatakan kemarahannya terhadap tindakan penolakan pesakit oleh beberapa hospital, menegaskan bahawa mana-mana fasiliti kesihatan di wilayah itu tidak dibenarkan menolak pesakit atas apa jua alasan.
  • “Saya ingatkan kepada semua hospital, PUSKEMAS dan tenaga perubatan, dilarang menolak pesakit termasuk kes kecemasan. Jika masih ada yang menolak, saya pastikan mereka dipecat,” tegasnya.

JAYAPURA – Seorang wanita hamil dari Kampung Hobong, Distrik Sentani di Wilayah Papua meninggal dunia bersama bayi dalam kandungan selepas didakwa tidak menerima rawatan daripada lima hospital ketika dalam proses bersalin, lapor portal Kompas.

Mangsa, Irene Sokoy, diceritakan oleh keluarganya dibawa dengan bot laju dari Kampung Kensio ke Rumah Sakit (RS) Yowari sekitar jam 3 pagi Isnin lalu.

Namun, mangsa tidak diterima untuk rawatan dengan alasan kandungan dianggarkan seberat empat kilogram dan memerlukan pembedahan. Irene kemudian dirujuk ke RS Umum Daerah Abepura (RSUD Abepura).

Setibanya di RSUD Abepura, keluarga mendakwa hospital itu turut menolak memberikan rawatan sebelum merujuk Irene ke RS Dian Harapan, yang juga tidak menerima mangsa dan merujuknya ke RS Bhayangkara.

Di hospital tersebut, keluarga diminta menyediakan lapan juta rupiah (kira-kira RM2,450) untuk kos pembedahan.

Tidak mampu menyediakan kos tersebut, keluarga membawa Irene ke RSUD Jayapura, namun mangsa disahkan meninggal dunia bersama bayinya dalam perjalanan ke hospital berkenaan.

Timbalan Ketua Daerah Jayapura, Harris Richard Yocku mengucapkan takziah atas tragedi itu dan memaklumkan pihaknya sedang berusaha memperbaiki perkhidmatan dan infrastruktur di RSUD Yowari.

“Saya percaya tenaga perubatan sudah melakukan yang terbaik. Namun mungkin ini satu bencana yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Sementara itu, Gabenor Papua, Mathius Fakhiri menyatakan kemarahannya terhadap tindakan penolakan pesakit oleh beberapa hospital, menegaskan bahawa mana-mana fasiliti kesihatan di wilayah itu tidak dibenarkan menolak pesakit atas apa jua alasan.

“Saya ingatkan kepada semua hospital, PUSKEMAS dan tenaga perubatan, dilarang menolak pesakit termasuk kes kecemasan. Jika masih ada yang menolak, saya pastikan mereka dipecat,” tegasnya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author