Connect with us

Antarabangsa

Rang undang-undang baru Israel: Suntikan maut rakyat Palestin tanpa rayuan

Published

on

Foto: Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir (kiri) dan Ahli Parlimen Pembangkang, Gilad Kariv (kanan).
  • Mengikut peruntukan tersebut, rang undang-undang itu akan terpakai kepada sesiapa sahaja yang membunuh seorang Yahudi “kerana dia Yahudi,”.
  • Ia termasuk merancang atau melakukan perbuatan sedemikian, dan akan mewajibkan hukuman mati sebagai satu-satunya hukuman.
  • Cadangan itu akan melarang rayuan dan mewajibkan pelaksanaan hukuman dalam tempoh 90 hari

BAITULMAQDIS – Satu perdebatan tegang dalam Jawatankuasa Keselamatan Negara Knesset (Parlimen) Israel pada Rabu mendedahkan butiran rang undang-undang draf yang akan membenarkan pelaksanaan hukuman mati terhadap tahanan Palestin.

Ia termasuk penggunaan suntikan maut dan larangan penuh terhadap rayuan, menurut rakaman yang dikeluarkan oleh Saluran Knesset.

Jawatankuasa itu bermesyuarat untuk menyediakan rang undang-undang tersebut bagi bacaan kedua dan ketiga sebelum ia boleh menjadi undang-undang, lapor saluran itu.

Menurut Anadolu Anjasi, klip yang disiarkan oleh saluran tersebut di platform media sosial X menunjukkan peruntukan yang digubal oleh penaja rang undang-undang itu, Parti Kuasa Yahudi berhaluan kanan ekstrem yang diketuai  Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir.

Mengikut peruntukan tersebut, rang undang-undang itu akan terpakai kepada sesiapa sahaja yang membunuh seorang Yahudi “kerana dia Yahudi,” termasuk merancang atau melakukan perbuatan sedemikian, dan akan mewajibkan hukuman mati sebagai satu-satunya hukuman.

Peruntukan itu menyatakan bahawa hukuman akan dijatuhkan “dengan majoriti mudah, tanpa kemungkinan rayuan atau pengurangan hukuman melalui tawar-menawar atau pengampunan.”

Butiran itu juga menunjukkan bahawa hukuman mati akan dilaksanakan oleh Perkhidmatan Penjara Israel menggunakan suntikan maut.

Bagi mengelakkan kelewatan, rang undang-undang itu menghendaki hukuman dilaksanakan dalam tempoh 90 hari selepas keputusan mahkamah.

Satu pendebatan hangat berlaku semasa sesi itu antara Ben-Gvir dan ahli parlimen pembangkang Gilad Kariv dari Parti Yesh Atid.

“Sebuah negara tidak boleh diperintah berdasarkan dendam. Tiada rayuan, tiada perbincangan tambahan dan tiada keperluan untuk kelulusan kolektif,” kata Kariv, menggambarkan rang undang-undang itu sebagai “bersifat perkauman kerana ia hanya terpakai apabila mangsa Yahudi dibunuh.”

Beliau menyifatkan cadangan itu digubal “oleh kumpulan ekstremis dan fanatik,” dan berkata ia selari dengan parti yang pemimpinnya “menggantung gambar Baruch Goldstein di ruang tamu,” merujuk kepada pelaku pembunuhan beramai-ramai Hebron 1994 yang membunuh 29 rakyat Palestin.

Media Israel sebelum ini melaporkan bahawa Ben-Gvir memaparkan gambar Goldstein di rumahnya di sebuah penempatan di Hebron.

“Saya harap anak-anak kamu tidak membesar dengan nilai kamu. Kamu seorang bapa yang membesarkan anak-anak berdasarkan legasi seorang pembunuh dan pengganas,” kata Kariv kepada Ben-Gvir.

Akhbar Israel Hayom melaporkan bahawa Kariv telah diusir dari sesi jawatankuasa selepas konfrontasi tersebut.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa Persatuan Perubatan Israel memaklumkan jawatankuasa bahawa tiada doktor yang akan bekerjasama dalam melaksanakan hukuman mati.

Ben-Gvir menegaskan bahawa “doktor mengatakan sebaliknya dan menyokong hukuman tersebut.”

“Saya faham kamu mahu kami membunuh mereka dengan menggantung atau menembak,” tambahnya.

Knesset meluluskan rang undang-undang itu dalam bacaan pertamanya pada 11 Nov, dengan 39 undi menyokong dan 16 menentang daripada 120 anggota.

Ben-Gvir berulang kali mendesak penggubalan undang-undang yang membenarkan pelaksanaan hukuman mati terhadap tahanan Palestin, dan telah mengetatkan keadaan penjara bagi tahanan termasuk mengehadkan lawatan, mengurangkan elaun makanan dan mengehadkan akses mandi, menurut organisasi tahanan Palestin.

Usaha parlimen itu berlaku ketika rakyat Palestin terus menanggung kesan perang genosid Israel di Gaza yang telah meragut lebih 69,000 nyawa dan mencederakan lebih 170,000 yang lain sejak Oktober 2023. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author