Antarabangsa
6 aktivis Hindu ditahan halang solat Jumaat di Masjid Shimla
- Aktivis tersebut bukan sahaja menghalang pintu masuk tetapi turut mempersoalkan kerakyatan dan identiti jemaah yang hadir untuk menunaikan solat.
- Devbhoomi Sangharsh Samiti, yang terkenal dengan kempen anti-Muslim, sebelum ini menuntut supaya masjid tersebut dirobohkan sepenuhnya kerana didakwa dibina di atas tanah kerajaan secara tidak sah.
SHIMLA — Ketegangan tercetus di Sanjauli, Shimla pada Jumaat lalu selepas sekumpulan penganut Hindu menghalang jemaah Muslim daripada menunaikan solat berjemaah di sebuah masjid lima Tingkat.
Polis menahan enam ahli kumpulan sayap kanan Hindu, Devbhoomi Sangharsh Samiti, sebuah kumpulan bersekutu dengan Vishva Hindu Parishad (VHP) kerana didakwa menghalang jemaah memasuki masjid untuk solat Jumaat.
Mereka yang ditahan ialah penolong penyelaras Madan Thakur, Vijay Sharma, Kalpana Sharma, Shweta Chauhan, Shilpi dan Parul. Kumpulan itu berhimpun di hadapan masjid sambil mendakwa struktur berkenaan dibina secara tidak sah.
Aktivis tersebut bukan sahaja menghalang pintu masuk tetapi turut mempersoalkan kerakyatan dan identiti jemaah yang hadir untuk menunaikan solat.
Mereka mendesak solat dihentikan dengan alasan terdapat perintah mahkamah tempatan yang melarang penggunaan masjid buat sementara waktu.
Beberapa penduduk setempat dilaporkan menyertai tindakan itu dan menghalang jemaah daripada masuk.
Devbhoomi Sangharsh Samiti, yang terkenal dengan kempen anti-Muslim, sebelum ini menuntut supaya masjid tersebut dirobohkan sepenuhnya kerana didakwa dibina di atas tanah kerajaan secara tidak sah.
Mereka juga menghantar surat kepada pihak polis, meminta sekatan dikenakan terhadap perhimpunan solat, pemeriksaan identiti jemaah, serta pemotongan bekalan elektrik dan air.
Pihak polis menempatkan lebih ramai anggota di lokasi bagi mengawal keadaan yang semakin tegang, seterusnya meredakan situasi dan menghalang sebarang kejadian keganasan. Tiada kecederaan dilaporkan.
Masjid berkenaan telah menjadi titik panas sejak protes tercetus tahun lalu, yang menyaksikan konfrontasi fizikal dan penggunaan meriam air oleh pihak berkuasa. Mahkamah Shimla kemudiannya mengarahkan jawatankuasa masjid merobohkan tiga tingkat yang dibina tanpa kebenaran dalam tempoh dua bulan.-The Merdeka Times