Antarabangsa
Mamdani boikot Starbucks
- Datuk Bandar New York City yang baharu dipilih, Zohran Mamdani, menyeru orang ramai supaya memboikot Starbucks sebagai tanda solidariti terhadap ribuan barista di seluruh Amerika Syarikat yang sedang melancarkan mogok berhubung dakwaan pelanggaran hak pekerja oleh syarikat gergasi kopi itu.
- “Bersama, kita boleh menghantar mesej yang kuat. No contract, no coffee,” katanya dalam kenyataan.
NEW YORK– Datuk Bandar New York City yang baharu dipilih, Zohran Mamdani, menyeru orang ramai supaya memboikot Starbucks sebagai tanda solidariti terhadap ribuan barista di seluruh Amerika Syarikat yang sedang melancarkan mogok berhubung dakwaan pelanggaran hak pekerja oleh syarikat gergasi kopi itu.
Dalam kenyataannya di platform X pada Khamis malam, Mamdani berkata barista Starbucks sedang berjuang untuk mendapatkan kontrak kerja yang adil, dan selagi mogok berlangsung, beliau sendiri tidak akan membeli minuman daripada rangkaian tersebut.
“Sementara pekerja sedang mogok, saya tidak akan membeli mana-mana produk Starbucks, dan saya meminta anda menyertai kami,” tulisnya.
Mogok terbuka itu bermula bertepatan dengan sambutan tahunan Red Cup Day, hari promosi terbesar Starbucks yang lazimnya mencatat jualan tertinggi syarikat.
Kesatuan pekerja menyatakan sekitar 1,000 pekerja di 65 kedai memulakan mogok, dengan amaran bahawa ia boleh berkembang sehingga lebih 500 kedai jika rundingan kontrak terus buntu.
Starbucks, yang memiliki 16,864 cawangan di seluruh AS, memaklumkan bahawa hanya sekitar 4 peratus tenaga kerja runcitnya iaitu kira-kira 9,500 barista berada di kedai yang telah bersatu di bawah kesatuan.
Syarikat itu turut menyatakan bahawa lebih 99 peratus kedainya kekal beroperasi dan mencatat “hari Red Cup paling berjaya dalam sejarah syarikat”.
Mogok tersebut berlaku ketika rundingan kontrak bersama terus gagal mencapai kata sepakat, disusuli pula pengumuman penyusunan semula operasi syarikat yang membawa kepada penutupan lebih 600 kedai di seluruh negara.
Ia juga merupakan mogok keempat sejak 2023 dan yang ketiga di bawah kepimpinan CEO Brian Niccol, yang mengambil alih pada September 2024.
Tindakan Mamdani menyokong barista yang mogok dilihat sebagai petunjuk awal bagaimana beliau kemungkinan menggunakan kedudukannya sebagai Datuk Bandar NYC untuk menyokong isu-isu buruh.
Sebagai ahli politik demokrat sosial, Mamdani sudah lama dikenali sebagai sekutu rapat gerakan pekerja.
“Bersama, kita boleh menghantar mesej yang kuat. No contract, no coffee,” katanya dalam kenyataan. -The Merdeka Times