Politik
MIC keluar BN, Puad nafi UMNO desak permohonan maaf
- Anggota MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi merujuk kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran yang berkata bahawa MIC tidak akan meminta maaf serta menegaskan partinya bukan “junior” yang boleh diarahkan.
- Dalam kenyataannya di Facebook, Puad mempersoalkan sekiranya permohonan maaf perlu dibuat, ia lebih sesuai ditujukan kepada masyarakat India jika MIC merasakan parti itu dipertanggungjawabkan atas keputusan buruk pada PRU15.
- “Lebih baik MIC minta maaf kepada masyarakat India jika rasa bersalah hingga dihukum teruk di PRU ke 15,” kata Puad.
KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menegaskan bahawa UMNO tidak pernah mendesak MIC untuk membuat permohonan maaf, sekali gus menolak dakwaan bahawa parti itu menganggap MIC sebagai “junior” dalam hubungan politik komponen.
Puad merujuk kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran yang berkata bahawa MIC tidak akan meminta maaf serta menegaskan partinya bukan “junior” yang boleh diarahkan.
Menurut Puad, perkara itu tidak pernah timbul dalam UMNO.
Beliau menegaskan bahawa tuduhan Vigneswaran yang melabel Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai “penipu” bukan isu besar kepada UMNO, malah MKT UMNO tidak pernah membincangkan apatah lagi mendesak MIC untuk memohon maaf.
Dalam kenyataannya di Facebook, Puad mempersoalkan sekiranya permohonan maaf perlu dibuat, ia lebih sesuai ditujukan kepada masyarakat India jika MIC merasakan parti itu dipertanggungjawabkan atas keputusan buruk pada PRU15.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Puad Zarkashi.
“Lebih baik MIC minta maaf kepada masyarakat India jika rasa bersalah hingga dihukum teruk di PRU ke 15,” kata Puad.
Puad turut menegaskan bahawa masalah sebenar MIC berpunca daripada segelintir pemimpin yang tidak mendapat jawatan, walhal lantikan tersebut adalah prerogatif Perdana Menteri.
Beliau menyatakan bahawa wakil rakyat MIC tidak mempunyai masalah dan terus berkhidmat dengan baik.
Mengulas hubungan politik lalu, Puad mengingatkan bahawa ketika MIC menyertai Perikatan Nasional pada Julai 2020, keputusan itu dibuat tanpa perbincangan dengan UMNO.
Begitu juga ketika MIC keluar daripada PN pada Ogos 2020, ia bukanlah kerana desakan UMNO.
Menurut beliau, UMNO sentiasa sedar bahawa MIC bukan parti “junior” dan menghormati pendirian serta keputusan parti itu.
Puad turut menasihatkan MIC agar tidak memanipulasi isu “sejambak bunga” daripada Perdana Menteri (PMX) sebagai alasan politik. Beliau menambah bahawa jika MIC mahu menyertai Pakatan Harapan, tiada sesiapa yang menghalang keputusan tersebut. Namun, tegas Puad, Vigneswaran bukanlah “junior politician” dan bukan “budak-budak”.-The Merdeka Times