Antarabangsa
3 pemain bola sepak Israel ditahan, Rogol pelancong AS di Tel Aviv
- Salah seorang pemain menafikan tuduhan tersebut, mendakwa bahawa hubungan itu berlaku secara suka sama suka.
- Mangsa membuat laporan rasmi pada 1 November, menyatakan bahawa beliau telah dirogol awal bulan ini di sebuah hotel kecil di bandar berkenaan.
PALESTIN – Tiga pemain bola sepak Israel, dua pemain aktif daripada National League dan Liga Alef serta seorang bekas pemain telah ditahan kerana disyaki merogol seorang pelancong wanita warga Amerika Syarikat berusia 29 tahun di Tel Aviv, lapor media Israel.
Menurut polis, mangsa membuat laporan rasmi pada 1 November, menyatakan bahawa beliau telah dirogol awal bulan ini di sebuah hotel kecil di bandar berkenaan.
Laporan saluran televisyen Israel, Channel 12, menyebut bahawa semua suspek merupakan pemain bola sepak profesional, termasuk seorang yang bermain dalam National League.
Mangsa dipercayai bertemu salah seorang suspek menerusi dalam talian sebelum kejadian berlaku pada hujung minggu.
Salah seorang pemain menafikan tuduhan tersebut, mendakwa bahawa hubungan itu berlaku secara suka sama suka. Menurutnya, beliau menjemput pelancong itu menaiki keretanya sebelum menempah sebuah bilik hotel, di mana dua rakannya kemudian menyertai mereka.
Beliau turut mendakwa bahawa mangsa bersetuju bersama dua lelaki tetapi menolak seorang lagi.
Peguam bagi ketiga-tiga suspek mengulangi kenyataan sama, sambil mengatakan bahawa anak guam mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan menjangkakan mereka akan dibebaskan dalam masa terdekat.
Channel 12 turut melaporkan bahawa keseluruhan insiden tersebut telah dirakam, dan sebahagian rakaman itu telah tersebar.
Polis kini sedang meneliti bahan bukti tersebut sebagai sebahagian daripada siasatan.-The Merdeka Times