Connect with us

Antarabangsa

Peneroka Israel bakar Masjid di Salfit, Conteng slogan hina Nabi

Published

on

Foto: Sebuah masjid di kawasan berhampiran bandar Salfit, Tebing Barat, dibakar oleh peneroka (penjajah) Israel.
  • Jemaah yang tiba untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Hajja Hamida terkejut apabila mendapati pintu masjid dipecahkan dan api marak dari dalam bangunan.
  • Kebakaran itu menyebabkan sebahagian dinding masjid hangus, tingkap pecah dan ruang solat rosak teruk. Di luar bangunan, penjajah zionis menconteng slogan perkauman serta kata-kata kesat terhadap Nabi Muhammad SAW, termasuk ugutan dan seruan membalas dendam.

 

TEBING BARAT – Sebuah masjid di kawasan berhampiran bandar Salfit, Tebing Barat, dibakar oleh peneroka (penjajah) Israel awal pagi Khamis, dalam satu lagi insiden keganasan yang terus meningkat terhadap rakyat Palestin.

Jemaah yang tiba untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Hajja Hamida terkejut apabila mendapati pintu masjid dipecahkan dan api marak dari dalam bangunan.

Imam masjid berkenaan, Ahmad Ahed Salman, berkata beliau cuba memasuki masjid untuk memadamkan api namun terhalang oleh asap tebal dan bahang kuat. Beliau kemudian menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Deir Istiya yang berjaya mengawal kebakaran sebelum ia merebak.

Menurut saksi, para penjajah zionis dipercayai menuang bahan mudah terbakar di dalam masjid sebelum Subuh.

Kebakaran itu menyebabkan sebahagian dinding masjid hangus, tingkap pecah dan ruang solat rosak teruk. Di luar bangunan, penjajah menconteng slogan perkauman serta kata-kata kesat terhadap Nabi Muhammad SAW, termasuk ugutan dan seruan membalas dendam.

Kementerian Wakaf Palestin mengecam insiden itu sebagai jenayah keji dan menegaskan bahawa serangan ke atas rumah ibadah kini semakin menjadi dasar sistematik Israel untuk menakut-nakutkan rakyat Palestin.

Ia berkata tindakan itu mencerminkan tahap kebiadaban yang dicetuskan oleh mesin hasutan Israel terhadap tapak suci Islam dan Kristian.

Sumber media Israel turut melaporkan bahawa beberapa contengan mengutuk Abraham Ahron Bluth, komander tentera yang baru-baru ini diserang penjajah selepas beliau mengkritik peningkatan keganasan terhadap Palestin.

Bluth sebelum ini memberi amaran bahawa tindakan penjajah ekstremis mengancam kestabilan keselamatan Israel sendiri.

Penduduk tempatan berkata serangan ke atas masjid bukanlah kejadian pertama, namun kali ini lebih berbahaya kerana ia berlaku jauh ke dalam kawasan penempatan Palestin, bukan hanya di pinggir kampung seperti selalunya. Mereka bimbang jika masjid boleh diserang sebegitu, kediaman mereka juga mungkin menjadi sasaran berikutnya. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author