Politik
Cadangan serah Langkawi hina kedaulatan Sultan – UMNO Kedah
- “Perkara seumpama itu tidak boleh sewenang-wenangnya dibicarakan secara terbuka kerana ia melibatkan martabat Tuanku Sultan Kedah yang menaungi tanah jajahan takluk pulau tersebut. Isu tanah jajahan takluk Tuanku Sultan bukanlah seperti urusan mengambil buah kelapa gugur di tepi jalan yang tiada pemilik. Ini soal kedaulatan yang tidak ada kompromi,” tegasnya.
- UMNO Kedah gesa Teresa Kok membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataannya yang didakwa mengguris hati rakyat negeri itu.
ALOR SETAR – UMNO Kedah hari ini mengecam kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang mencadangkan Pulau Langkawi diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan, dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak menghormati tanah jajahan takluk di bawah naungan Tuanku Sultan Kedah.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata cadangan tersebut bukan sahaja tidak sensitif, bahkan menyinggung perasaan rakyat Kedah yang menjunjung tinggi institusi Raja.
“UMNO Kedah menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Seputeh itu tidak menghormati Tuanku Sultan Kedah selaku Raja yang memerintah negeri ini dan menaungi segala tanah jajahan takluknya serta rakyat Kedah secara keseluruhannya.
“Beliau sewajarnya lebih peka dan sensitif dalam setiap apa yang hendak dibicarakan, walau di mana-mana platform sekalipun, termasuklah di dalam Dewan Rakyat yang mempunyai imuniti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahdzir menegaskan bahawa wakil rakyat DAP itu tidak sepatutnya mengeluarkan cadangan menyentuh institusi Sultan atau Raja, terutama apabila ia melibatkan hak milik tanah jajahan di bawah naungan Tuanku Sultan.
“Perkara seumpama itu tidak boleh sewenang-wenangnya dibicarakan secara terbuka kerana ia melibatkan martabat Tuanku Sultan Kedah yang menaungi tanah jajahan takluk pulau tersebut.
“Isu tanah jajahan takluk Tuanku Sultan bukanlah seperti urusan mengambil buah kelapa gugur di tepi jalan yang tiada pemilik. Ini soal kedaulatan yang tidak ada kompromi,” tegasnya.
Sehubungan itu, UMNO Kedah menggesa Teresa Kok membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataannya yang didakwa mengguris hati rakyat negeri itu.
Mengulas isu pembangunan, Mahdzir berkata Pulau Langkawi tidak perlu diletakkan di bawah pentadbiran Persekutuan kerana terdapat agensi sedia ada seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang boleh diperkasakan untuk menerajui pembangunan pulau berkenaan.
“Isu pembangunan Pulau Langkawi boleh diselesaikan menerusi pelbagai cara lain dan bukannya dengan meletakkannya di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Langkawi sudah ada LADA yang hanya perlu dipertingkatkan peranannya,” katanya.
Semalam, Teresa Kok mengkritik kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS yang didakwanya gagal membangunkan Pulau Langkawi, namun pada masa sama berhasrat mengambil alih Pulau Pinang. Beliau turut mencadangkan agar kerajaan Persekutuan mentadbir Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan atau Zon Antarabangsa bagi merancang pembangunan pelancongan dengan lebih teratur. -The Merdeka Times