Politik
Cadangan ‘Turun Anwar 2.0’ bukti PAS tiada hala tuju ekonomi – AMANAH
- Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata langkah PAS yang mengugut untuk mengadakan tunjuk perasaan berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat menunjukkan kecenderungan mereka mempolitikkan dasar kerajaan demi kepentingan politik sempit.
- “Anjuran ‘Turun Anwar 2.0’ tanpa alasan kukuh hanyalah cubaan PAS menanam kebencian. Politik kebencian ini tidak Islamik dan boleh menggugat kestabilan serta perpaduan rakyat,” katanya.
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara menyifatkan cadangan PAS untuk menganjurkan demonstrasi “Turun Anwar 2.0” sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bukti bahawa parti itu tidak mempunyai hala tuju ekonomi yang jelas.
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata langkah PAS yang mengugut untuk mengadakan tunjuk perasaan berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat menunjukkan kecenderungan mereka mempolitikkan dasar kerajaan demi kepentingan politik sempit.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Parti Amanah Negara Group.
Menurutnya, kerajaan MADANI sentiasa menghormati hak mana-mana pihak, termasuk PAS, untuk memfailkan semakan kehakiman sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu dasar.
Tindakan itu, tegasnya, akan membuktikan kerajaan telah bertindak mengikut undang-undang dan prinsip ketelusan.
“Adalah amat tidak wajar bagi PAS untuk menggambarkan seolah-olah perjanjian ini berat sebelah atau merugikan negara, sedangkan ia telah dirunding secara teliti oleh pasukan pegawai awam yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman luas dalam hal ehwal perdagangan antarabangsa,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa perjanjian tersebut dirangka dengan pertimbangan teliti terhadap kepentingan ekonomi negara, termasuk kejayaan menurunkan tarif timbal balas Amerika Syarikat ke atas Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, kadar paling rendah.
“Tindakan PAS memperlekeh perjanjian ini menunjukkan mereka tiada hala tuju ekonomi. Lebih membimbangkan, ia memberi isyarat salah kepada dunia bahawa Malaysia tidak konsisten dalam komitmen antarabangsa,” tegasnya.
Faiz turut mempersoalkan sama ada PAS bercadang menghentikan hubungan dagang dengan Amerika Syarikat sekiranya memerintah, memandangkan pasaran itu merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia dengan nilai dagangan RM325 bilion pada 2024 dan eksport sebanyak RM198.65 bilion.
“Hubungan dagang ini membuka peluang pekerjaan dan menyokong ramai PKS termasuk perusahaan Melayu dan anak muda,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan MADANI mengambil setiap keputusan berasaskan kepentingan negara, bukan kepentingan politik kepartian.
“Anjuran ‘Turun Anwar 2.0’ tanpa alasan kukuh hanyalah cubaan PAS menanam kebencian. Politik kebencian ini tidak Islamik dan boleh menggugat kestabilan serta perpaduan rakyat,” katanya.-The Merdeka Times