Terkini
Askar Israel bunuh diri selepas berperang di Gaza
- Dmitry Shapiro, yang telah banyak berperang di Gaza sejak 7 Oktober 2023, meninggalkan sepucuk surat perpisahan kepada isterinya, menyatakan tekanan psikologi yang amat berat.
- Keluarga Shapiro menggambarkannya sebagai “patah semangat” dan bergelut dengan masalah kesihatan mental yang teruk sejak pulang dari Gaza, Ogos lalu.
- Abang iparnya, Yoav, berkata ketika di Gaza, Shapiro menunjukkan tanda-tanda kehilangan kawalan diri, keinginan untuk melarikan diri, dan kemurungan.
TEL AVIV – Seorang kru kereta kebal Israel berusia 34 tahun yang berperang di Gaza telah meninggal dunia akibat bunuh diri, meninggalkan sepucuk surat yang menyatakan beban psikologi berat akibat pengalamannya di wilayah tersebut.
Kematiannya menunjukkan krisis kesihatan mental yang ketara dalam kalangan anggota tentera Israel, dengan peningkatan kes percubaan bunuh diri dan kematian sejak 7 Oktober 2023.
Dmitry Shapiro, ditemui mati di Tugu Peringatan Pasukan Payung Terjun berhampiran Beit Elazari di tengah Israel, dalam kejadian yang disahkan pihak berkuasa sebagai kes bunuh diri, lapor Roya News.
Shapiro, yang telah banyak berperang di Gaza sejak 7 Oktober 2023, meninggalkan sepucuk surat perpisahan kepada isterinya, menyatakan tekanan psikologi yang amat berat.
Keluarga Shapiro menggambarkannya sebagai “patah semangat” dan bergelut dengan masalah kesihatan mental yang teruk sejak pulang dari perkhidmatan tentera Israel pada Ogos.
Abang iparnya, Yoav, berkata ketika di Gaza, Shapiro menunjukkan tanda-tanda kehilangan kawalan diri, keinginan untuk melarikan diri, dan kemurungan.
“Dia hilang diri di sana,” kata Yoav.
“Adik saya, isterinya, sering memintanya mendapatkan bantuan, dan dalam surat yang ditinggalkan, dia menulis bahawa dia tidak melakukannya (mendapatkan bantuan).
“Negara menganggap mereka telah kembali kepada kehidupan normal, tetapi hakikatnya berbeza. Dia pulang dalam keadaan mental yang hancur. Dia menyaksikan kematian dan kecederaan yang memusnahkan jiwanya. Itulah harga perang,” katanya.
Kes bunuh diri meningkat dalam kalangan tentera Israel sejak 7 Oktober 2023.
Laporan terbaru dari Pusat Penyelidikan dan Maklumat Knesset mendedahkan bahawa 279 askar Israel telah cuba membunuh diri antara Januari 2024 hingga Julai 2025, dengan 36 daripadanya berjaya melakukannya dalam tempoh tersebut.
Data itu, yang memfokuskan kepada anggota bertugas aktif, menunjukkan peningkatan ketara dalam kes bunuh diri dalam kalangan tentera simpanan: lima pada tahun 2023, sebelas pada tahun 2024, dan tujuh hanya dalam separuh pertama tahun 2025.
Pakar menyatakan bahawa angka ini mungkin tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar, kerana ia tidak termasuk kes selepas diberhentikan seperti Shapiro.
Lebih 20,000 askar Israel telah cedera sejak perang bermula, dengan lebih separuh daripada kes tersebut melibatkan masalah kesihatan mental seperti PTSD, kebimbangan, dan kemurungan. – The Merdeka Times