Antarabangsa
AS dakwa Hamas rompak bantuan tanpa bukti
- Dalam satu kenyataan pada Ahad, Hamas menyifatkan tuduhan Washington itu sebagai “tidak berasas dan tidak disokong sebarang bukti,” menegaskan bahawa tiada insiden rompakan bantuan berlaku sebagaimana didakwa.
- “Penerusan AS terhadap naratif pendudukan Zionis menunjukkan keberpihakan yang tidak beretika dan menjadikannya rakan kongsi dalam kepungan serta penderitaan rakyat Gaza,” kata kenyataan Hamas.
- Dalam kenyataan berasingan, pengasas Euro-Mediterranean Human Rights Monitor, Ramy Abdu turut mempersoalkan keaslian video tersebut yang menurutnya telah “disunting berat sebelah” tanpa bukti sokongan kukuh.
GAZA — Gerakan Hamas menolak keras dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa ahlinya merompak sebuah trak bantuan di Gaza, menyifatkan tuduhan itu sebagai “rekaan dan direka bagi menghalalkan sekatan Israel” terhadap bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Hamas menyifatkan tuduhan Washington itu sebagai “tidak berasas dan tidak disokong sebarang bukti,” menegaskan bahawa tiada insiden rompakan bantuan berlakus ebagaimana didakwa.
“Penerusan AS terhadap naratif pendudukan Zionis menunjukkan keberpihakan yang tidak beretika dan menjadikannya rakan kongsi dalam kepungan serta penderitaan rakyat Gaza,” kata kenyataan Hamas.
Sebelum itu, United States Central Command (Centcom)mendakwa bahawa beberapa individu dipercayai anggota Hamas menyerang pemandu trak dan mencuri kenderaan tersebut di utara Khan Younis, berdasarkan rakaman dron yang telah disunting.
Bagaimanapun, Centcom tidak mengemukakan sebarang bukti bahawa individu terbabit benar-benar anggota Hamas.
Sejak perang genosid di Gaza bermula pada Oktober 2023, beberapa laporan menunjukkan kegiatan rompakan bantuan lebih banyak dilakukan oleh kumpulan bersenjata yang mendapat perlindungan Israel.
Menurut Centcom, rakaman tersebut diambil menggunakan dron MQ-9 milik AS yang bertugas memantau pelaksanaan gencatan senjata dan melapor kepada Pusat Penyelaras Sivil-Ketenteraan (CMCC) yang berpusat di Israel.
Namun Hamas menegaskan bahawa tiada laporan rasmi daripada mana-mana badan antarabangsa, organisasi tempatan atau konvoi bantuan yang mengesahkan kejadian seperti yang didakwa oleh Washington.
“Rakaman yang ditunjukkan Centcom itu direka untuk menjustifikasi sekatan dan pengurangan bantuan kemanusiaan,” jelas kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Pejabat Media Kerajaan di Gaza menyifatkan dakwaan AS sebagai “penuh percanggahan dan tidak disokong fakta.”
“Rakaman itu gagal menyatakan tarikh, masa dan lokasi sebenar kejadian, jelas bertujuan mengelirukan pandangan umum,” katanya sambil menyoal mengapa AS berdiam diri terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh Israel.
Menurut pejabat itu, sejak gencatan senjata berkuat kuasa, lebih 230 rakyat Palestin masih terbunuh akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Dalam kenyataan berasingan, pengasas Euro-Mediterranean Human Rights Monitor, Ramy Abdu turut mempersoalkan keaslian video tersebut yang menurutnya telah “disunting berat sebelah” tanpa bukti sokongan kukuh.
“Kawasan yang dikatakan lokasi rompakan itu terletak berhampiran posisi tentera Israel dan militia Hossam al-Astal yang beroperasi di bawah perlindungan mereka,” katanya.
Abdu juga membidas propaganda Centcom yang mendakwa 600 trak bantuan masuk ke Gaza setiap hari, sedangkan laporan rasmi antarabangsa menunjukkan purata sebenar hanyalah sekitar 145 trak sehari.
Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric pula menyatakan bahawa sejak gencatan senjata bermula pada 11 Oktober, insiden rompakan bantuan menurun secara drastik selepas Hamas memulihkan kawalan keselamatan di Gaza.
“Trak bantuan kini dapat sampai ke gudang tanpa sebarang insiden,” katanya.-The Merdeka Times