Terkini
#BoycottUAE trending – Netizen kaitkan sokongan Abu Dhabi terhadap pengganas RSF di Sudan
- Kempen ini turut menular dengan penyebaran infografik bertajuk “Boycott for Sudan”, memaparkan senarai jenama utama Emiriah seperti Etihad Airways dan syarikat antarabangsa yang didakwa mempunyai kaitan kewangan dengan Abu Dhabi.
- “Berhenti melancong ke Dubai dan Abu Dhabi. Boikot UAE atas jenayah mereka di Sudan,” tulis seorang pengguna media sosial.
- Sektor eksport emas UAE turut menjadi sasaran Sebahagian besar emas negara itu dipercayai diseludup dari lombong yang dikawal oleh RSF di Sudan.
KHARTOUM — Seruan global untuk memboikot Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan negara Teluk itu semakin memuncak susulan kemarahan terhadap sokongan Abu Dhabi kepada pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) dalam perang berdarah Sudan.
Kempen boikot yang telah lama beredar dalam kalangan rakyat Sudan dan diaspora kini kembali mendapat momentum selepas RSF menawan bandar El-Fasher di Darfur Utara pada 26 Oktober, iaitu kubu terakhir tentera Sudan (SAF) di wilayah tersebut.
Penawanan itu disertai dengan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas, dengan rakaman video menunjukkan pejuang RSF berbangga setelah membunuh penduduk yang melarikan diri. Imej satelit turut mengesahkan kemusnahan besar dan jalan raya berlumuran darah, mencetuskan kemarahan dan kecaman meluas di media sosial.
Laporan antarabangsa menyebut bahawa Abu Dhabi merupakan penyokong utama RSF, membekalkan senjata dan peralatan ketenteraan kepada kumpulan itu
Sebagai tindak balas, pengguna media sosial kini mendesak Washington mengenakan sekatan senjata terhadap UAE dan mengharamkan sebarang sokongan terhadap RSF serta kepimpinan tenteranya.
Beberapa pengguna turut menyeru agar orang ramai membatalkan percutian ke Dubai, mengelak daripada membeli produk keluaran UAE, serta menilai semula hubungan perniagaan dengan syarikat berpusat di Emiriah.
“Berhenti melancong ke Dubai dan Abu Dhabi. Boikot UAE atas jenayah mereka di Sudan,” tulis seorang pengguna media sosial.
Kempen ini turut menular dengan penyebaran infografik bertajuk “Boycott for Sudan”, memaparkan senarai jenama utama Emiriah seperti Etihad Airways dan syarikat antarabangsa yang didakwa mempunyai kaitan kewangan dengan Abu Dhabi.
Apabila syarikat penerbangan Emirates menyiarkan mesej promosi “This is how we do Business”, ruangan komen dibanjiri kritikan termasuk video RSF membunuh lelaki tidak bersenjata yang dikongsi sebagai balasan sinis: “This is also how you do business.”
Beberapa pengguna turut menyatakan bahawa imej dan reputasi UAE kini hancur, kerana orang ramai yang sebelum ini tidak berminat dengan politik kini menzahirkan kebencian terhadap negara itu.
Selain seruan boikot pelancongan, sektor eksport emas UAE turut menjadi sasaran. Sebahagian besar emas negara itu dipercayai diseludup dari lombong yang dikawal oleh RSF di Sudan
Sebahagian aktivis menggambarkan boikot ini dalam konteks yang lebih luas, membandingkan sokongan UAE terhadap RSF dengan sokongan Israel terhadap operasi di Gaza.
“Batalkan perjalanan anda ke Dubai tahun ini, tahun depan dan selama-lamanya. Jika anda benar-benar bersolidariti dengan Palestin, fahamilah bahawa UAE adalah bayangan Israel membiayai militan pengganas di Sudan sebagai tukaran kepada emas,” tulis satu hantaran tular.
Perang Sudan meletus pada April 2023 selepas perbalahan antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) pimpinan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan RSF yang diketuai Mohamed Hamdan Dagalo atau “Hemedti”.
Konflik mengenai rancangan penyatuan pasukan itu berubah menjadi perang nasional yang telah meragut puluhan ribu nyawa dan memaksa lebih 13 juta orang berpindah.
RSF kini berdepan tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan di Darfur, manakala UAE menafikan sebarang penglibatan langsung.
Namun laporan Middle East Eye pada Januari 2024 mendedahkan bahawa Abu Dhabi menyalurkan bantuan senjata kepada RSF melalui rangkaian kompleks laluan bekalan di Libya, Chad, Uganda dan wilayah Somalia.-The Merdeka Times